Pena Cikgu KamarulRencana

Selamat tinggal Wawasan 2020 mu, Tun

(Surat Terbuka Cikgu Kamarul untuk Tun M)

Tun,
Ketika 2020 melabuhkan tirainya, WAWASAN 2020 telah lama rebah dalam khayalan seribu persoalan. Kemanakah perginya impian wawasan yang Tun rencanakan dahulu? Ia tidak ubah seperti mimpi ngeri yang tiada cerita indah sebagai penyudah. Rupa-rupanya kami dibuai dengan impian yang penuh dengan omongan kosong yang langsung tidak membawa sebarang makna. Siapakah pula yang akan dipersalahkan dengan kegagalan Tun kali ini? Najib sekali lagi? Atau mungkinkah Muhyiddin yang akan dikambinghitamkan?

Wawasan 2020 sepatutnya membawa negara ke tahap yang lebih tinggi dan disegani sementara bangsa Melayu pula menjadi bangsa yang disegani dan dihormati. Namun kini dunia mentertawakan kita dan Melayu seperti sudah hilang maruahnya. Semua ini gara-gara tindakan Tun sendiri.

Tun menghabiskan seluruh hidup berpolitik Tun dengan membunuh para pemimpin Melayu yang hebat agar Tun dan anak-anak tidak dibayangi oleh kehebatan mereka. Tun membunuh kepercayaan rakyat terhadap Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib dengan propaganda yang bukan sahaja memusnahkan mereka tetapi juga bangsa Melayu. Anehnya Tun masih mahu bercakap ini dan itu tentang Melayu.

Tun juga tidak pernah mahu menghargai jasa pihak dan orang tertentu yang telah menentukan Tun mencapai apa yang dihajatkan. Tun menjadi punca kejatuhan UMNO yang begitu banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan Tun sendiri. Semua ini Tun lakukan setelah Tun dan anak cucu Tun mendapat limpahan kesenangan daripada parti Melayu ini.

Tun,
Bangsa Melayu tidak akan lupa Peristiwa Hitam Ramadhan dimana rumah Allahyarhamah Tun Rahah digeledah dan dipecahkan. Apakah kesalahan isteri bekas Perdana Menteri yang kami kasihi itu terhadap Tun? Tindak tanduk Tun terhadap Tun Rahah dan Datuk Seri Mohd Najib mengingatkan kami tentang kekejaman Zionis yang gemar melancarkan serangan keatas penduduk Islam Palestin di bulan Ramadhan. Mungkin Tun mabuk dengan kuasa buat kali kedua ketika itu. Namun semua kuasa di atas dunia adalah sementara belaka.

Tunlah yang menjadi punca kepada segala kemusnahan yang melanda negara dan bangsa. Sayang sekali, kasih sayang Tun terhadap anak-anak sendiri menggunung tinggi tanpa batasan.
Tun sebenarnya tidak layak menjadi pemimpin kepada bangsa Melayu kerana kepimpinan Tun telah melumpuhkan kemajuan bangsa Melayu. Setiap apa yang Tun lakukan diiringi dengan propaganda mengangkat nama Tun. Ketika orang Melayu diajak berbangga, anak-anak Tun pula mendapat habuan untuk menambah kekayaan dan harta.

Ketika Tun untuk sekian kalinya mencari jalan pintas untuk menambahkan kekayaan anak-anak, Melayu hidup dengan penuh kesengsaraan di tanahair sendiri. Namun Tun tidak pernah mahu tahu itu semua. Lidah Tun lebih mudah melabelkan Melayu sebagai bangsa yang malas. Pernahkah anak cucu Tun merasai kesempitan pada kunjungan setiap tahun baru kerana perlu berbelanja untuk menghantar anak ke sekolah? Pernahkah anak cucu Tun merasai begitu tidak berdaya untuk menghantar anak-anak ke pusat-pusat pengajian tinggi? Pernahkah anak cucu Tun hanya mampu makan sekali dalam sehari ketika menjalani hari hari sebagai pelajar di sebuah politeknik atau universiti? Pernahkah anak cucu Tun turun ke sawah dalam keadaan dingin dalam hujan yang lebat di awal pagi?
Pernahkah anak-anak cucu Tun ternanti-nanti akan hari gaji kerana gaji di bulan ini telah habis digunakan untuk pendidikan anak-anak?

Sedang anak kami bertungkus lumus memenuhi setiap ruang waktu dan peluang yang ada untuk menambah pendapatan bagi membolehkan mereka mengharungi kehidupan sebagai pelajar, anak cucu Tun berbelanja mewah dalam percutian di luar negara sambil mengambil peluang menyindir pemimpin dan Raja-Raja Melayu dengan tulisan-tulisan yang penuh keangkuhan.

Tun,
Masihkan seronok bercakap gah tentang Islam di pentas antarabangsa lalu dianggap sebagai pemimpin Islam sedangkan Islam di tanahair sendiri tidak dijaga dengan sempurna? Ada saja pemimpin Islam yang Tun perlekehkan dan undang-undang Islam yang diperkecilkan. Haji mereka yang dihantar Najib ke tanah suci pun Tun pertikaikan.

Dan pada malam ini apabila kami memikirkan bagaimana hendak menjalani hari-hari yang mendatang, anak cucu Tun mungkin sedang merancang percutian tahun baru mereka dan Tun pula sedang berkira-kira pemimpin Melayu mana pula yang hendak dijatuhkan.

Wawasan 2020? Apa itu Tun?

Selamat Malam Tun.

(Visited 1,511 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button