Nasional

Helikopter terhempas sedang jalani latihan penerbangan

HELIKOPTER persendirian yang terhempas berhampiran Pulau Indah pagi tadi dipercayai sedang membuat latihan penerbangan ‘hovering’.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, helikopter tersebut terhempas pada ketinggian kira-kira empat meter.

“Juruterbang dipercayai hilang kawalan ketika melakukan teknik ‘hovering’ (mengekalkan kedudukan statik di udara).

“Susulan itu, helikopter berkenaan telah terbalik dan bahagian ekornya telah tercabut dan tercampak kira-kira 20 meter daripada badan helikopter berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Amar, siasatan menyeluruh mengenai kejadian berkenaan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Terdahulu pada kira-kira 10 pagi tadi, sebuah helikopter ringan dilapor terhempas di sebuah kawasan lapang berhampiran PKFZ.

Terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan mereka berada dalam keadaan stabil serta hanya mengalami kecederaan ringan.

Mangsa yang terlibat ialah juruterbang, Kharudin Dahlan, 73 yang mengalami kecederaan di tangan kiri.
Pembantu juruterbang, Moithu Kutti Mohamad, 53 pula mengalami luka kecil dalam insiden tersebut. -SM
(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button