Nasional

Fasiliti kesihatan tidak lagi mampu tampung pesakit Covid – PM

Fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mampu untuk menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang mencatatkan lebih 2,000 kes sehari.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, 15 buah hospital awam yang menempatkan pesakit Covid-19 ketika ini merekodkan kadar penggunaan katil di bukan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus.

Penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus sementara di Hospital Sungai Buloh telah mencapai 83 peratus.

Muhyiddin berkata, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak ketika ini telah melebihi 70 peratus.

“Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

“Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas sebentar tadi.

Katanya, pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC).

Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri.

Situsai tersebut sekaligus menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

Menurut Muhyiddin, unjuran kes harian dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei.

Ia berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia,

“Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan,” kata Muhyiddin.

Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 iaitu sejumlah 1,228 kes.

Bermula penghujung November tahun lalu fenomena kes harian empat digit bagi Covid-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari lalu iaitu sebanyak 3,027 kes.-SM

 

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button