Politik

Apakah kedudukan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat?

Kedudukan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan berakhir pada 1 Ogos berdasarkan kepada fakta bahawa proklamasi darurat yang dimasyhurkan akan tamat pada tarikh tersebut.

Pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, ia melainkan dirungkaikan oleh Parlimen terlebih awal atau tidak dirungkaikan, tertakluk kepada Perkara 150(7), namun, bergantung kepada terma lantikan Jawankuasa Khas Bebas tersebut.

Jelas beliau, berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyatakan bahawa tugas utama Jawatankuasa Khas Bebas itu ialah menasihati Yang di-Pertuan Agong pada melaksanakan peranan baginda di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia menentukan sama ada wujud atau tidak darurat besar atas sebab keselamatan negara atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam sehingga baginda berpuas hati bagi tujuan memberi perkenan kepada pengisytiharan darurat.

Dengan wujudnya Jawatankuasa Khas Bebas itu, kata beliau, ia juga boleh dikatakan sebagai menamatkan peranan Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal kewujudan berterusan darurat besar (sekiranya diandaikan baginda membuat pengisytiharan darurat atas nasihat Jemaah Menteri).


“Apakah maksud frasa ‘kewujuduan berterusan darurat besar…’ Adakah nasihat Jawatankuasa Khas Bebas yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong boleh digunakan oleh baginda selepas tarikh 1 Ogos 2021.

“Persoalan ini timbul kerana adalah tidak begitu jelas maksud frasa itu, ‘kewujudan berterusan’, sama ada ‘berterusan’ dalam masa darurat sekarang, iaitu darurat yang sedang berkuat kuasa dari tarikh 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 sahaja.

“Atau, adakah dimaksudkan ‘kewujudan berterusan’ itu dalam jarak masa 11 Januari sehingga juga selepas 1 Ogos. Pada kefahaman saya, nasihat Jawatankuasa Khas Bebas adalah dalam jangka masa sehingga 1 Ogos dan kewujudan berterusan itu bermaksud tidak melangkau 1 Ogos dan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas hanyalah untuk meneruskan darurat sehingga 1 Ogos atau disingkatkan atau ditamatkan sebelum 1 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Shamrahayu, bagi tujuan darurat selepas 1 Ogos, ia akan kembali kepada kedudukan asal, iaitu kembali kepada Perkara 150(1) dan tertakluk kepada Perkara 150(3) sekiranya dirungkai oleh Parlimen atau Fasal 150(7).

Pada pengamatan beliau, kedudukan Jawatankuasa Khas Bebas itu mungkin sehingga 1 Ogos.

“Ia mungkin hanya sehingga 1 Ogos. Ini cuma anggapan saya. Adalah lebih mudah untuk membuat keputusan sekiranya kita mendapat maklumat jelas tentang skop jangka masa atau jarak waktu lantikan atau terma lantikan Jawatankuasa Khas Bebas ini. Sekiranya maklumat ini ada, barulah jawapan dapat dimuktamadkan,” katanya.

(Visited 147 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button