Nasional

Apa yang saya buat yang dikatakan khianati Melayu dan Islam? – Anwar

KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk mengecilkan Islam dan Melayu.

Beliau turut menafikan tuduhan beberapa pihak yang mengatakan beliau anti-Islam ketika mentadbir negara selama lapan bulan ini.

Beliau berkata, kebanyakan jawatan tertinggi kerajaan masih dikuasai oleh golongan Melayu-Islam termasuk kedudukan eksekutif dan penjawat awam.

Anwar turut meminta semua pihak agar tidak memainkan isu tersebut bagi mengelakkan permusuhan kaum di negara ini.

“Saya meminta semua pihak untuk menilai sebaiknya, sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan agar tidak wujud permusuhan kaum di negara ini. Selamatkan negara ini, jangan izinkan ada permusuhan kaum yang menyebabkan kita kembali runtuh kerana nilai kita.

“Lapan bulan saya tanya di Parlimen apa yang saya buat yang dikatakan khianati Melayu dan Islam? Adakah saya sokong Chow (Chow Kon Yeow) sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikatakan saya khianati Melayu dan Islam?

“Saya tidak khianat. Saya terima kenyataan politik dan realiti. Saya mahu negara ini aman. Semua negeri lain, yang pegang jawatan Ketua Menteri, Menteri Besar adalah Melayu (Islam). Semua jawatan utama, Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Ketua Hakim Negara, Gabenor, semua Melayu-Islam,” katanya ketika hadir pada Program Seminar Malaysia Madani Peringkat Pulau Pinang di Bertam Resort di sini pada Ahad, lapor Sinar Harian

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan untuk mencuri wang negara dan zalim kepada rakyat.

“Satu perkara yang tidak boleh dipertikai iaitu saya tak guna kuasa saya sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan untuk cuti wang negara, untuk zalim kepada rakyat serta mengkhianati amanah seperti mana yang difitnah.

“Saya juga tidak pernah mengecilkan bangsa Melayu dan Islam. Bukannya saya cakap Anwar jdi PM, semuanya sempurna, tak…banyak masalah. Jika rasa ada yang tak cukup saya lakukan, saya akan perbaiki.

“Tapi satu yang saya tak tolak ansur, saya lalui pasang surut derita yang panjang dan saya tidak bersedia tolak ansur untuk khianati amanah mencuri wang negara serta mengizinkan rasuah berterusan di negara kita,” katanya. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button