Ekonomi

Jumlah dagangan Jun 2020 naik 2.2 peratus

PENGHAPUSAN sekatan pergerakan secara beransur-ansur  berikutan COVID-19 di Malaysia, telah menyaksikan jumlah dagangan negara meningkat pada Jun 2020 kepada RM144.84 bilion, naik 2.2 peratus berbanding Jun 2019

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Lim Ban Hong berkata, kementerian terus aktif mempromosikan penggunaan platform digital, pameran dan padanan perniagaan yang kini semakin relevan di bawah persekitaran normal baharu.

“Kerajaan Malaysia telah melonggarkan peraturan kemasukan ekspatriat ke negara kita. Golongan profesional asing dan kakitangan pengurusan utama yang memegang Pas Pekerjaan Kategori Satu dibenarkan memasuki negara tetapi dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) di Kuala Lumpur hari ini.

Lim berkata demikian semasa menjadi tuan rumah kepada delegasi MCCC yang diketuai presidennya, Datuk Tan Yew Sing.

Mengenai kelonggaran peraturan perjalanan, Lim memberi contoh Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang baru-baru ini dipersetujui antara Malaysia dan Singapura akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan dan perniagaan penting.

Beliau menambah kerajaan juga sedang meninjau kemungkinan memperkenalkan gelembung perjalanan hijau dengan China dan negara-negara lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kesihatan kedua-dua buah negara.

Satu lagi cadangan yang sedang dikaji oleh kerajaan ialah kemungkinan membenarkan ekspatriat China dari wilayah atau bandar di China yang telah diluluskan menurut  SOP ketat pihak berkuasa kesihatan kedua-dua negara.

Ini ialah pada hakikatnya secara geografi, China ialah sebuah negara yang besar, kata beliau sambil menambah, kerajaan akan meneliti semua aspek dan meninjau kemungkinan membenarkan perjalanan wilayah-ke-negara yang akan meningkatkan lagi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam normal baharu ini.

“Walaupun pandemik COVID-19 dan perang perdagangan antara AS dan China telah menimbulkan ketidakpastian untuk ekonomi global, terdapat juga peluang perniagaan yang muncul daripada perubahan ini.

“Contohnya, konflik perdagangan ini telah mempercepatkan penyusunan dan penempatan semula rantaian bekalan, yang mana industri tempatan perlu mengatur semula strategi untuk disesuaikan dengan dengan trend baharu di bawah persekitaran normal baharu,” kata Lim.

Sementara itu, presiden MCCC Tan berkata, sebagai jambatan menghubungkan perdagangan dan ekonomi kedua-dua negara, MCCC akan terus giat menarik perusahaan China untuk melabur di Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana. – BERNAMA

(Visited 69 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button