Politik

Kerjasama PN tidak untungkan UMNO, Zahid perlu beri halatuju jelas

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lalu menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai dengan parti politik dalam Perikatan Nasional tidak menguntungkan parti itu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk SerI Mohamad Hasan berkata, kerjasama politik itu juga telah memencilkan peranan parti itu di Sabah.

Tegas beliau, UMNO perlu memikirkan semula pendekatan politik yang diambil apabila parti yang pernah menguasai Sabah selama 27 tahun itu, kini hanya menjadi pemain politik terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

“UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihanraya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” kata Mohamad.

Ketika ini UMNO bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Parti itu juga bekerjasama dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu, pengorbanan UMNO dengan memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu dalam PRN Sabah telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan.

Lebih menyedihkan menurut beliau, UMNO juga terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO.

Malah janji yang dimeterai berkaitan potfolio Kabinet dalam Kerajaan Negeri Sabah juga hampir dimungkiri.

Justeru katanya, telah tiba masa untuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya mengenai kerjasama dengan saingan politik.

“Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRU Sabah.

“Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri,” kata Mohamad.

Menurut beliau, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu katanya, telah berakhir.

Sebaliknya, episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara dengan memberikan kepimpinan dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya melalui platform politik lain.

“Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan UMNO ke landasan sebenarnya. Kusut dihujung, baliklah kepangkal. Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” kata Mohamad.-SM

 

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button