Politik

UMNO sengaja cari penyakit di Melaka

Krisis politik di Melaka ketika ini adalah disebabkan oleh masalah yang ‘dicari sendiri’ susulan ketidakmampuan ahli parti menyelesaikan masalah dalaman, kata penganalisis politik.

Sikap berpuak dalam Umno dan kegagalan kepimpinan parti di peringkat nasional untuk mengawal perselisihan dalaman telah melemahkan ‘genggaman’ parti dalam pentadbiran di peringkat negeri, kata mereka.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata krisis yang timbul itu dianggap pergelutan dalam keluarga, khususnya antara puak yang mahu menjatuhkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan terdapat puak dalam parti sama yang mahu menuntut jawatan berkenaan.

Beliau menyifatkan kemelut politik itu menunjukkan kepimpinan nasional sudah hilang ‘bisa’ dan tidak mampu mengurus ‘rumah sendiri’ atau ahli ‘keluarga sendiri’ kerana kemelut dalam Barisan Nasional (BN) sendiri membuktikan terdapat masalah dalaman dalam parti berkenaan.

Hari ini, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri ke-12.

7268ea2e10629ef81e29b03444f49e71.jpg

Geostrategis Dr Azmi Hassan pula mempersoalkan tindakan yang diambil oleh empat Adun Melaka terutama daripada Umno sedangkan perkara itu boleh dibincangkan bersama kerana berkaitan masalah dalaman.

Beliau berkata sentiman rakyat adalah mereka mahukan kestabilan politik disebabkan itu termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept lepas.

“Mengapa tak boleh tolak ansur hingga berlaku seperti ini yang sukar diterima ramai kerana mereka daripada parti yang sama,” katanya.

Menurutnya, kesan daripada itu akan berlaku dua senario iaitu kemungkinan berlaku pilihan raya negeri atau pertukaran ketua menteri tanpa melalui pilihan raya negeri.

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Ismail Sualman pula berkata tindakan keempat-empat Adun itu tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli politik fokus terhadap usaha memerangi wabak Covid-19 dan merendahkan suhu politik.

“Apa pun alasan yang diberikan ia tidak wajar, lebih-lebih lagi di era kita semakin menuju kejayaan dalam berperang dengan wabak Covid-19, tapi kita masih tidak dapat menangani wabak politik ini yang tiada kesudahan.

“Sekiranya ada rasa tidak puas hati, lebih baik berunding kerana sebarang pertukaran kepimpinan akan merencatkan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang akhirnya membantutkan pembangunan negeri serta merugikan rakyat yang memilih mereka,” katanya.

9065b0c8b7d7997c9dd915706b6dc6bc.jpeg

Gambar fail, Adun Sungai Udang Idris Haron.

Ismail berkata bagi mengelak krisis berlarutan yang akhirnya merugikan, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam boleh memainkan peranan termasuk pendekatan musyawarah dengan memanggil pemimpin parti-parti politik terbabit mengikut langkah Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut di peringkat Persekutuan.

Penganalisis Politik dan Media Sosial dari UiTM, Profesor Madya Dr Saraswathy Chinnasamy tidak menolak terdapat tekanan dalaman yang mahu mengulingkan pentadbiran negeri dan ia tidak boleh dibiarkan kerana mungkin mempengaruhi pentadbiran negeri lain.

“Jadi, Umno (BN) perlu sebulat suara bersatu padu dalam kemelut politik Melaka. Sudah tentu keputusan terbaik adalah PRU15. Pecahan dalam parti bakal interpretasi tamakkan kuasa,” katanya.

Beliau juga berkata wakil rakyat masih mementingkan diri sedangkan Yang di-Pertuan Agong ketika berkenan merasmikan Persidangan Dewan Rakyat telah menitahkan supaya ahli politik tidak tamakkan kuasa.

61092703ed789414740053afca18481b.jpg

Gambar fail, KM Melaka Sulaiman Md Ali.

Kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini diwakili 17 Adun yang terdiri daripada 14 (BN-Umno), dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah).

Berikutan penarikan sokongan empat Adun itu kerajaan kepimpinan Sulaiman kini mempunyai sekadar 13 kerusi daripada 28 kerusi DUN, secara teknikal beliau kehilangan majoriti di DUN untuk terus menerajui kerajaan Melaka.

Sekiranya Sulaiman yang juga Adun Lendu terpaksa meletakkan jawatan, Melaka pastinya bakal menyaksikan pelantikan ketua menteri baru iaitu yang ketiga setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 9 Mac 2020, Sulaiman, setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari dari PH.

– Bernama

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button