Nasional

Anak tumbuk bapa kerana kain buruk

HANYA kerana kain buruk, seorang lelaki bukan sahaja tergamak memukul dan menumbuk bapa sendiri, malah turut memaki hamun warga emas itu berikutan marah kerana tidak dapat mencari kain buruk yang dia mahu, dalam kejadian di Pengkalan Bongor, di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pukul 7 malam di rumah mereka, lelaki berusia 37 tahun itu bertanyakan kepada bapanya berusia 73 tahun mengenai kain buruk miliknya, namun warga emas tersebut memaklumkan tidak tahu.

“Lelaki itu terus marah dan memaki hamun ayahnya, malah menuduh semua orang dalam rumah mereka menyembunyikan kain buruk berkenaan, sebelum bertindak agresif dengan memukul serta menumbuk ayahnya hingga warga emas itu hampir jatuh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya lelaki itu juga mengugut bahawa dia akan memukul ayahnya itu, sekiranya mangsa membuat laporan polis sebelum keluar meninggalkan rumah dan semasa kejadian isteri mangsa yang juga ibu kepada suspek, turut berada di rumah itu.

Beliau berkata pasangan warga emas berkenaan kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka dan polis telah menahan suspek, sebaik dia pulang ke rumahnya malam tadi iaitu beberapa jam selepas kejadian tersebut.

“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati beliau positif dadah.

“Lelaki yang tidak bekerja itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama,” katanya. – BERNAMA

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button