fbpx
Nasional

Anak Kit Siang turut “Lulus BPN”?

TULAR di laman sosial termasuk hantaran aplikasi WhatsApp menyebut anak kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang pun mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Difahamkan, Senator Lim Hui Ying iaitu adik perempuan kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu dilaporkan “Lulus BPN” berjumlah RM800.

Dalam pada itu, ahli parlimen DAP dari Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong juga disebut-sebut penerima bantuan tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu memperoleh status “Lulus BPN” sebanyak RM1,000.


Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh antara ahli Parlimen yang didakwa ‘lulus’ permohonan BPN.

Bagaimanapun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, beberapa Ahli Parlimen dan kenamaan tersenarai sebagai penerima BPN kerana kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018, yang ada dalam rekodnya.

LHDN memaklumkan, penentuan penerima BPN dibuat mengikut kriteria pendapatan dengan data percukaian terkini, berdasarkan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan.

Menurut kenyataan itu, hanya individu yang mempunyai tahap pendapatan bercukai berada dalam julat pendapatan ditetapkan, layak menerima BPN.

“Merujuk isu beberapa Ahli Parlimen dan orang kenamaan turut layak dan menerima BPN, perlu dijelaskan bahawa kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018 dalam rekod LHDN.

“Namun demikian, LHDN menerima baik Ahli Parlimen yang secara sukarela memulangkan bayaran BPN itu. Mereka boleh berbuat demikian dengan mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad.

“Seterusnya lampirkan draf bank dan cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan) dan dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan di Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Malaysia Presint 2, 62592 Putrajaya,” menurut kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, LHDN menegaskan permohonan baharu atau rayuan BPN hanya tertakluk kepada individu tidak mendaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini.

Pembayar cukai pula perlu mengemaskini data peribadi masing-masing dengan LHDN.

“Pembayaran BPN seperti diumumkan sebelum ini bahawa penerima diluluskan secara automatik berdasarkan kepada pangkalan data BSH dan data rekod percukaian tahun taksiran LHDN tahun 2018.

“Kelulusan permohonan baharu adalah tertakluk kepada proses semakan dan verifikasi,” katanya. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button