Nasionalpilihan

Risda majukan 409,172 hektar kebun getah tidak bertoreh

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda)
merangka pelbagai inisiatif dan bantuan bagi memajukan semula kira-kira 409,172 hektar kebun getah tidak bertoreh yang melibatkan 221,859 orang pekebun kecil di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran Risda, Noor Azan Mohd. Noor berkata, antaranya usaha tersebut melalui Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP).

Menurutnya, inisiatif tersebut telah dilaksanakan dalam usaha menarik minat semula pekebun kecil mengusahakan kebun getah yang tidak bertoreh.

“Kita berjaya mengurangkan sebanyak 20 peratus setiap tahun antara 50,000 hingga 80,000 hektar kebun-kebun matang terbiar dan tidak bertoreh diusahakan semula pekebun kecil.

“Sejak tahun 2020 hingga 2022 kita dapat mengurangkan keluasan kebun getah tidak bertoreh dan tahun ini keadaan menjadi lebih stabil.

“Kebun-kebun matang terbiar atau tidak bertoreh yang dikenalpasti dan pekebun kecil akan diberikan pendedahan berkaitan bantuan RISDA melalui program-program anjuran Risda.

“Usaha ini amat penting kerana Risda mensasarkan pendapatan pekebun kecil memperoleh sebanyak RM4,500 sebulan sekeluarga berbanding RM3,900 menjelang akhir Tahun 2025,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Kempen GPPG dan GAP anjuran Risda Melaka yang telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian Dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut Noor Azan berkata, Risda menawarkan pelbagai jenis program dan bantuan sebagai contoh Program Tanam Semula, Bantuan Tanam Semula Berkelompok (TSB), Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Program Agromakanan dan banyak lagi.

Menurutnya, bagi tahun ini peruntukan sebanyak RM9,270,509.00 telah disalurkan bagi membiayai program-program yang ditawarkan oleh RISDA.

“Setakat awal bulan ini hanya RM6,870,460.15 telah dibelanjakan dan masih berbaki untuk dilaksanakan sehingga akhir tahun ini,” ujarnya.

Bagi Melaka pula katanya, hanya segelintir daripada 11,303 pekebun kecil terlibat dalam program-program sokongan yang ditawarkan oleh Risda.

Justeru katanya, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk turut mengadakan pameran Kumpulan RISDA Holdings (KRH) bagi memberi pendedahan kepada pekebun kecil dan masyarakat setempat tentang peranan agensi itu. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button