Nasional

Allahyarham Tun Dr Ismail ada dasar jelas untuk bangunkan negara – Anwar Ibrahim

Majoriti generasi hari ini tidak mengetahui bahawa lima prinsip rukun negara yang sering dibaca itu dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Dr. Ismail Al-Haj.

Tanpa Allahyarham juga, masalah pergolakan kaum yang memuncak selepas peristiwa 13 Mei 1969 berjaya diredakan serta dipulih dengan sangat baik sehingga ke hari ini.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar pun Allahyarham telah lama meninggalkan dunia, jasanya sebagai tokoh nasionalis negara harus dikenang dan disanjung.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seseorang yang sangat garang, tegas namun cara pendekatan yang diambil untuk menyelesaikan masalah sangat bergaya.

“Aspek ini, perkara ini dari negarawan, Tun Dr Ismail yang perlu kita pelajari, termasuklah integriti Tun di dalam berpolitik, penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik.

“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan anak Allahyarham Tun Dr Ismail, Tawfiq.

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button