Ekonomi

AirAsia syarikat penerbangan tambang rendah terbaik 10 tahun berturut-turut

AirAsia sekali lagi memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di anugerah Business Traveller Asia-Pacific Awards 2021, untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Anugerah tersebut menyusuli beberapa anugerah yang telah dimenangi baru-baru ini termasuk Anugerah  inovasi Perniagaan di World Airline Awards 2021 daripada pakar penerbangan di Flightglobal, anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Skytrax 2021 untuk tahun ke-12 berturut-turut dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 di World Travel Awards pada awal bulan ini.

Anugerah Business Traveller Asia Pacific ini mengiktiraf syarikat terbaik dalam industri pelancongan dan hospitaliti, dan diundi oleh lebih daripada 30,000 orang pengembara dan pembaca majalah Business Traveller Asia-Pacific.

Anugerah pada tahun 2021 ini mengambil kira pengalaman perjalanan yang lebih meluas berbanding sebelum ini dan pengembara diminta untuk turut merujuk kepada 24 bulan yang lalu termasuk pengalaman sebelum dan semasa di pelbagai peringkat krisis COVID-19 seperti langkah pencegahan COVID, prosedur keselamatan dan fleksibiliti yang dilaksanakan, di mana keputusan disusun secara bebas oleh syarikat penyelidikan pasaran Business Intelligence.

Bo Lingam

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, “Kami amat berterima kasih kerana para pengembara sekali lagi mengiktiraf AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik. Maklum balas langsung daripada mereka adalah bukti kukuh terhadap komitmen kami untuk sentiasa memberikan nilai terbaik.

“Kami juga berbangga kerana semua inovasi yang telah kami laksanakan sejak kebelakangan ini untuk menjadikan penerbangan lebih bersih dan lancar tanpa sentuhan juga telah diiktiraf dalam anugerah ini.

“Memandangkan perkhidmatan domestik mula beroperasi di semua pasaran utama kami, kami kini menantikan pembukaan semula sempadan antarabangsa, dan akan kembali lebih kuat dan lebih baik dengan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengguna sebagai aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti.”

Majalah Business Traveler Asia-Pacific yang dilancarkan pada tahun 1982 mengiktiraf syarikat penerbangan, lapangan terbang, hotel dan destinasi pelancongan menerusi undian oleh pembacanya untuk perkhidmatan dan hospitaliti terbaik.

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button