MahkamahNasional

Ahli perniagaan dihadap ke mahkamah dera isteri hingga meninggal

SEORANG ahli perniagaan yang menjadi buruan polis selepas mendera isterinya didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan membunuh, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamed Imran Mohamed Yunos, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Imran didakwa membunuh Azween Noor Alias, 38, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Sutera Pines antara jam 8 malam hingga 10.30 malam pada 22 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala tertuduh diwakili Peguam P Gunalan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 September ini sebagi tarikh sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Azween meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kajang dipercayai akibat didera suaminya.

Memetik Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, polis menerima laporan kejadian pada jam 12.15 tengah malam.

“Mangsa dihantar oleh suaminya dan selepas mendapat tahu isterinya disahkan meninggal dunia, dia menghilangkan diri.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa.

“Mayat diserahkan ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di keseluruhan badan.

Pakar patalogi mengesahkan punca kematian adalah akibat dipukul dengan objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius. – SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button