Nasional

Ismail Sabri ucap takziah atas kematian Presiden UAE

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan takziah kepada Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan rakyat UAE atas kematian Presiden Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Perdana Menteri Malaysia berkata beliau sedih mendengar berita pemergian Sheikh Khalifa, yang merupakan Pemerintah Abu Dhabi, kerana beliau adalah seorang pemimpin berwawasan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran UAE.

Pencapaian, kebijaksanaan dan kemurahan hati beliau telah memberi manfaat kepada rakyat UAE dan semua umat Islam, katanya.

Ismail Sabri berkata Malaysia amat menghargai sumbangan murni Sheikh Khalifa dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Doa dan ingatan saya ditujukan kepada Yang Teramat Mulia, ahli keluarga diraja dan rakyat UAE dalam masa kesukaran mereka.

“Semoga Allah SWT merahmatinya dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

Laporan media menyebut Sheikh Khalifa, yang memerintah sejak 2004, meninggal dunia pada usia 73 tahun semalam, selepas bertarung sakit selama beberapa tahun.

Upacara tiga hari untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Sheikh Khalifa dijadual diadakan mulai hari ini hingga 16 Mei.

 

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button