fbpx
Celoteh

Agar-agar si Bunga Telang Mak Teh petang ini

TERSENTAP tangkai jantung Mak Teh tatkala membaca berita tentang seorang gadis remaja yang bertindak nekad lari dari rumah kerana tidak tahan dirogol bapa kandung.

Sebagai gadis remaja yang baru menginjak usia 16 tahun dia terpaksa melalui pengalaman yang amat menyedihkan sepanjang hidupnya. Betapa beratnya ujian yang terpaksa dia lalui dek perbuatan lelaki yang sepatutnya menjadi pembela kepada dia.

Bukan senang untuk dia kembali bangkit meneruskan hidup, bukan senang juga untuk dia melupakan sejarah hitam angkara si bapa durjana, doa Mak Teh semoga dia temui secebis kekuatan untuk terus melangkah meneruskan hidup baharu.

Sekali lagi hati Mak Teh tersentap bila membaca kisah seorang gadis remaja juga belasan tahun memanjat pokok mangga setinggi empat meter untuk terjun dan niatnya sudah tentulah hendak menamatkan riwayatnya kerana mengalami tekanan perasaan.

Bagaimanapun gadis itu berjaya diselamatkan selepas dipujuk oleh abang bomba. Entah apa agaknya ayat yang digunakan oleh anggota penyelamat itu sehingga berjaya melembutkan hati si gadis.


Mak Teh menganggapnya sebagai wira kerana berjaya memujuk lara seorang gadis yang sedang buntu sehingga hampir meragut nyawanya sendiri. Betapa gadis itu mengharapkan seseorang untuk hadir memberi kekuatan kepadanya agar tidak bertindak bodoh.

Lebih menyedihkan dan menggemparkan negara ialah kematian seorang gadis berusia 19 tahun yang disyaki dibunuh rakan baik sendiri selepas disamun. Alasan tertuduh kononnya dirinya dihina oleh mangsa.

Benar mangsa sudah tiada untuk membela dirinya dan rakannya boleh berkata apa sahaja untuk meraih simpati umum namun Mak Teh yakin dakwaannya itu sekadar hendak menutup perbuatan kejamnya sendiri.

Bila di dalam kandang tertuduh nanti Mak Teh percaya dia pasti akan ‘tercungap-cungap’ hendak menjawab soalan bertubi-tubi dari Pegawai Pendakwa Raya dan hakim yang arif lagi bijaksana untuk ‘menyelamatkan diri’.

Namun lebih menyedihkan apabila membaca tulisan warga maya yang tergamak mempersendakan ketiga-tiga mangsa yang kita ketahui adalah gadis remaja yang sangat lemah dan masih memerlukan bimbingan.

Benar mereka berhak untuk berkata apa sahaja sesedap jari yang menaip tanpa perlu memikirkan perasaan mangsa, keluarga, sanak saudara dan sahabat mangsa.

Bagi Mak Teh setiap orang ada ujian masing-masing namun kekuatan dalaman amat penting untuk membolehkan seseorang itu mampu menangani permasalahan yang dihadapi selain pegangan agama yang kuat serta sokongan keluarga.

Setiap insan memiliki kelebihan dan kekurangan, tiada yang sempurna. Namun Mak Teh sangat berharap agar warga maya lebih berakal ketika melemparkan pandangan kerana karma itu tetap ada. Jangan bersorak gembira dengan musibah yang orang lain hadapi kerana sekelip mata ia boleh menimpa diri dan keluarga anda sendiri.

Oklah, Mak Teh cuba menenangkan perasaan dengan duduk di dapur. Melihat sudip, senduk dan periuk sambil menyelami ujian yang gadis-gadis itu hadapi. Semoga mereka dan keluarga mereka sentiasa dalam rahmat ilahi.

Minggu ni Mak Teh nak buat agar-agar bunga telang. Semoga ia menjadi inspirasi untuk kalian sama-sama mencuba.

Bahan-bahan

Sepeket agar-agar tali
Segenggam bunga telang
1 1/2 cawan gula
1 tin susu sejat
Beberapa kuntum bunga telang segar
1 liter air
Secawan air

Cara-cara

Rebus bunga telang bersama secawan air dan tapis. Masak agar-agar tali bersama 1 liter air sehingga hancur dan masukkan gula sehingga larut.

Keluarkan beberapa senduk agar-agar dan masukkan susu cair. Masukkan air bunga telang ke dalam baki agar-agar tadi. Susun bunga telang segar ke dalam acuan dan tuang agar-agar. Selepas agak keras tuangkan pula agar-agar yang dicampur susu. Biarkan sehingga keras sebelum dihidangkan. Lebih enak dimakan sejuk-sejuk.- SM

Show More
Back to top button