Celoteh

Biar boroi asalkan boleh buat kerja

NORLIZA ABD. RAHMAN

SEMASA sedang berjalan lenggang-lenggang kangkung melalui sebuah kedai emas terkenal di sebuah pusat membeli belah mega, Mak Teh saja tengok-tengok seutas rantai tangan yang tengah ‘trending’ dari luar premis perniagaan tersebut.

Logam emas kekuningan itu benar-benar menggoda jiwa wanita Mak Teh, dengan saiznya yang tidaklah besau gedebak sampai setengah batu dah boleh nampak tapi ‘just nice’ dan sangat sesuai untuk wanita yang belum berusia setengah abad macam Mak Teh ni.

Kedai emas itu sentiasa menjadi pilihan Mak Teh untuk menjamu mata sebab rekaan bentuk loket, gelang tangan, rantai tangan, subang atau rantai lehernya Mak Teh sangat berkenan.

Semua kedai emas punya reka bentuk yang hampir sama mengikut trend semasa, kena pula sekarang ni nama-nama yang diberi pun tak menahan… bunga durian, bunga tayar, daun ketum, daun ganja, jagung, roti bun, buah anggur, pulut dakap, biskut tawar, sauh kapal dan macam-macam lagi. Memang ‘win’ lah nama-nama emas tu.

Mak Teh tak nak cakap soal orang minat orang nak membeli emas sebagai koleksi peribadi atau hadiah dari suami untuk isteri, dari anak untuk ibu, dari ibu untuk anak atau dari kekasih untuk kekasih, itu sudah menjadi lumrah bagi kebanyakan orang sejak sekian lama sebagai satu penghargaan yang nilainya sangat setimpal dengan harganya.

Yang Mak Teh nak cakap ialah tentang sikap jurujual di premis perniagaan tersebut yang sangat peramah dengan tutur katanya yang lemah lembut, tonasi suaranya yang sedikit pelat (sebab dia lelaki Cina), dia sentiasa tersenyum kepada orang ramai yang lalu lalang, lebih-lebih lagi kepada mereka yang melihat ke arah cermin pameran yang memperlihatkan loket emas, rantai tangan, cincin dan jongkong emas bersaiz mini.

Dia akan berdiri di pintu masuk premis sambil berkata, ‘hi kak, jemput masuk, pilihlah yang berkenan, kita ada banyak emas-emas cantik. Mak Teh yang masa tu sedang melihat berat seutas rantai tangan dalam cermin yang memiliki tahap keselamatan tinggi tu terkejut bila lelaki itu berdiri di sebelah Mak Teh.

Tergoda sungguh tengok kilauan emas itu dibawah sinaran lampu kuning yang menyerlahkan lagi warnanya yang menggiurkan itu. Asalnya nak tengok berat emas tu je sebab tag dia agak terselindung.

Namun lelaki gemuk berperut boroi itu tetap melayani Mak Teh dengan baik. Dia lantas mengeluarkan segugus kunci dan mempelawa Mak Teh masuk ke dalam kedai yang ketika itu agak sesak dengan pengunjung. Mak Teh tolak dengan alasan sekadar nak tahu beratnya sahaja.

Selepas melihat tag yang tertera berat logam itu dia terus keluar mendapatkan Mak Teh dan memberitahu beratnya sekian-sekian dan harganya sekian-sekian kerana belum termasuk upah. Harganya memang mengikut harga semasa tetapi mahal sedikit berbanding sebuah kedai emas di Bangi.

Bila Mak Teh ucapkan terima kasih (sebab nak tahu beratnya sahaja) lelaki boroi itu tetap tersenyum. Dia jawab, “tak apa kak itu memang tugas saya, kalau mahu beli jemputlah masuk, banyak lagi pilihan kak mesti suka”.

Kesimpulan yang Mak Nak kongsikan ialah sebuah kedai emas atau kedai apa pun peranan seorang juru jual bukannya kecil. Mereka mampu menarik pelanggan dan mampu juga buatkan pelanggan lari. Rupa paras bukan ukuran kalau kau letak perempuan berbadan cantik dengan solekan bak supermodel tapi sekadar jadi patung cendana tak tau nak sapa pelanggan, atau lelaki jambu yang sekadar bermain mata dengan jantan sado sampai abaikan pelanggan yang berpotensi baiklah abaikan saja.

Menu kita minggu ini ialah masak asam rebus pindang kepala ikan merah. Jom masuk dapur

Bahan-bahannya

Kepala ikan merah
3 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
1 sudu asam jawa
Sebatang serai
Daun kesum
1 asam keping
3 biji cili padi* (nak pedas lagi sila tambah)
1 biji cili merah*
Sedikit belacan*
Sedikit garam
Sedikit perasa (jika suka)
500 ml air
Belimbing buloh

Tumbuk Bahan-bahan bertanda * dan masukkan ke dalam periuk bersama air dan perahan air asam jawa. Apabila sudah menggelegak masukkan asam keping, serai, ikan dan daun kesum. Masukkan garam perasa dan sedia untuk dihidangkan. – SM

(Visited 606 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button