Nasionalpilihan

Adakah Rasuah Berlaku Ketika Covid-19?

Ditulis oleh: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun 2021 akibat penularan ‘ganas’ virus Covid-19 sejak dikesan awal tahun lalu menyaksikan banyak sektor perniagaan sama ada kecil atau besar di negara ini terus terjejas malah ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan.

Kesannya, ramai yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan operasi perniagaan, pengecilan jumlah pekerja dan juga ada yang memindahkan operasi perniagaan ke luar negara.

Jika dilihat secara kasar, kesan pandemik ini turut menyebabkan ekonomi seluruh dunia ‘lumpuh’ dan Malaysia tidak terkecuali menerima kesan awal apabila PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu apabila hampir sebahagian besar sektor ekonomi ditutup sementara.

Banyak sektor-sektor tertentu yang selama ini banyak bergantung kepada pergerakan orang ramai seperti sektor penerbangan, pelancongan, perhotelan dan sebagainya terkesan akibat pelaksanaan PKP.


Usaha ke arah pemulihan ekonomi juga belum menampakkan hasil apabila kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat setiap hari hingga mencecah lebih 21,000 kes ketika kerajaan mula melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu.

Meskipun sektor perniagaan menerima sedikit kelonggaran atau ‘bernafas semula’ apabila PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, namun ia bersifat sementara dan menyukarkan sektor berkenaan melakukan perancangan jangka panjang.

Natijahnya, untuk sesebuah syarikat atau organisasi perniagaan untuk ‘bangkit’ semula daripada kejatuhan akibat pandemik ini akan mengambil masa lama untuk kembali pulih seperti biasa.

Namun, disebalik kesan pandemik yang melanda negara ketika ini, tidak semua operasi perniagaan yang terjejas misalnya, pembelian barangan dalam talian, perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan terus mendapat permintaan tinggi disebabkan orang ramai bimbang untuk keluar dari rumah.

Berbeza pula dengan operasi syarikat-syarikat besar yang bergantung kepada tender-tender besar sama ada daripada syarikat swasta ataupun kerajaan mahupun syarikat-syarikat kecil yang menjalankan pelbagai operasi perniagaan.

Adakah mereka juga terjejas? Bagaimana mereka harus mencari ‘dana’ untuk meneruskan kelangsungan hidup kakitangan mereka yang memang bergantung penuh dengan ‘gaji’ daripada pekerjaan mereka.

Justeru, timbul persoalan ialah adakah rasuah masih berlaku ketika negara melaksanakan PKP dimana pergerakan orang ramai dibataskan dan hanya sektor-sektor tertentu yang dibenarkan beroperasi.

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh University of the West of England pada 2013, mendapati jumlah rasuah dalam kalangan organisasi komersial berlaku pada skala amat besar ketika krisis ekonomi kerana masing-masing mahu memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Dalam satu kajian di Malaysia oleh ‘KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013, menyatakan 80 peratus responden merasakan perkara berhubung suapan dan rasuah dalam sektor korporat meningkat sejak tahun 2010.

Sebanyak 90 peratus daripada responden mempercayai insiden penipuan korporat, merujuk kepada suapan dan rasuah, adalah masalah utama bagi sektor perniagaan di Malaysia.

Manakala kajian oleh PricewaterhouseCoopers Global Economic Crime and Fraud Survey 2020 (PwCs 2020) melaporkan jumlah responden di Malaysia yang berdepan dengan jenayah ekonomi meningkat kepada 43 peratus berbanding 41 peratus pada 2018.

Dalam kajian PwCs pada 2018 turut mendapati, sebanyak 11 peratus responden kehilangan peluang perniagaan disebabkan syarikat pesaing membayar suapan dan jumlah itu meningkat kepada 30 peratus pada tahun 2020.

Berdasarkan kepada statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi tahun 2019 sehingga Jun 2021 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,462 kes, kertas siasatan (566 kes) dan tangkapan (671 kes).

Berdasarkan statistik terkini itu, sebanyak 232 kertas siasatan dibuka pada 2020 berbanding 200 kes pada 2019 manakala jumlah tangkapan pada 2020 ialah 262 kes berbanding 267 kes pada 2019.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 678 kes dan kertas siasatan (134 kes) manakala tangkapan 142 kes.

Berbanding jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial bagi tahun 2014 sehingga 2018 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,517 kes, kertas siasatan (900 kes) dan tangkapan (782 kes).

Ini menunjukkan masalah rasuah dalam sektor perniagaan di Malaysia sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19 sudah berada pada tahap membimbangkan dan jumlah kes dilihat masih tinggi meskipun ketika negara masih bergelut untuk memerangi Covid-19 ini.

Jumlah kes tangkapan sebanyak 142 bagi tempoh enam bulan pertama 2021 membuktikan jenayah rasuah masih berlaku dalam waktu pandemik ini walaupun negara melaksanakan PKP 3.0 yang mengurangkan pergerakan orang ramai sama ada merentas daerah atau negeri kecuali dengan kebenaran polis.

Justeru, pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa pada 1 Jun 2020 adalah wajar diberi perhatian oleh semua pihak.

Tidak kiralah anda hanya seorang individu yang hanya membekalkan peralatan tulis atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang cuba mendapatkan tender daripada mana-mana syarikat kini tertakluk kepada peruntukan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 ini.

Pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang berkuat kuasa 1 Jun 2020 itu adalah sangat bertepatan pada masanya ketika negara sedang membuka semula pintu ekonomi yang terjejas akibat krisis Covid-19.

Ini kerana kita sedia maklum bahawa sektor komersial mempunyai risiko yang tinggi terdedah dan terbabit dalam aktiviti rasuah membabitkan isu tender projek atau kontrak mencecah nilai berjuta-juta ringgit.

Dengan adanya akta ini, kes rasuah dalam sektor komersial dapat dikurangkan dan diatasi dengan cara lebih menyeluruh sekali gus dapat membantu usaha SPRM dalam membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Justeru, semua pihak khususnya pihak pengurusan syarikat boleh menjadikan amalan menjauhi rasuah ini sebagai satu amalan atau norma baharu yang kita perlu patuhi setiap masa sebagaimana SOP seperti memakai pelitup muka ketika Covid-19 ketika ini.

Rasuah jika dibiarkan boleh menjadi ‘barah’ dan bukan sahaja merosakkan nilai atau integriti seseorang individu malah seluruh masyarakat disekelilingnya. -SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button