Nasional

Raja Muda Perlis nasihat masyarakat elak pembaziran elektrik

Dalam fenomena cuaca panas yang melanda negara, masyarakat dinasihatkan untuk cekap dalam menggunakan perkakasan elektrik bagi mengelakkan pembaziran tenaga serta bebanan membayar bill elektrik yang tinggi. Contohnya, ketika menggunakan penghawa dingin pastikan tingkap serta pintu ditutup rapat bagi mengelakkan motor penghawa dingin berterusan bekerja untuk mendapatkan suhu yang diperlukan. Pengguna juga boleh merujuk panduan menggunakan elektrik secara cekap di laman sesawang TNB di www.TNB.Com.my.

Demikian disembah taklimatkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil oleh Ketua Retail, TNB Negeri Perlis, Azian Alias sempena keberangkatan Baginda melancarkan kempen ‘Cekap Guna Elektrik, Pasti Jimat Bil Elektrik’ di Wisma TNB Perlis, Bulatan Jubli Emas, Kangar.

Majlis tersebut turut disekalikan dengan Majlis Mesra Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perlis 2024.

Terdahulu daripada itu Pengurus Besar TNB Negeri Perlis dan Kedah, Wan Ishak Soed dalam ucapan alu-aluan beliau kepada Baginda memaklumkan bahawa majlis anjuran TNB Perlis ini bertujuaan untuk menjalinkan silaturahim dan ukhuwah serta integrasi bersama-sama dengan para pemimpin dan masyarakat serta warga kerja TNB negeri.

Ia juga dilaksanakan bagi menjalankan tanggungjawab sosial TNB yang sentiasa mendekati dan mendampingi masyarakat selaras dengan imej TNB sebagai badan korporat yang prihatin.

Menurut Wan Ishak, dengan mengadakan program seumpama ini, TNB berpeluang menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada masyarakat setempat yang merupakan pelanggan dan aset utama TNB.

Tuanku Raja Muda di akhir program turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian proses pemasangan meter di rumah pengguna.

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button