fbpx
Nasional

Kes Syed Saddiq: Polis beri amaran orang ramai tidak politikkan dan sebar maklumat yang tidak berasas

POLIS Johor memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian babitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas menerusi media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dalam kenyataan berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan masalah lain.

Sehubungan itu, katanya, satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terbabit dengan insiden provokasi dan kekecohan ketika perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ulu Tiram, Bandar Seri Alam, Johor

Mohd Kamarudin berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 153/355/357/506 Kanun Keseksaan berhubung kes itu.

Selain itu, katanya polis akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa kompromi terhadap pihak yang terbabit dalam kekecohan itu.


Beliau menegaskan polis akan menyiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan iaitu dengan jahat/buasnya mendatangkan bangkitan marah kepada seseorang mungkin menyebabkan rusuhan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Bagi Seksyen 355 Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan seseorang yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan iaitu menyerang ataupun menggunakan kekerasan jenayah untuk cubaan mengurung orang secara salah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula iaitu menakutkan seseorang secara jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Kamarudin berkata, dalam kejadian kira-kira antara pukul 9 malam hingga 11.30 malam tadi, satu program rapat umum ARMADA Johor yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, diadakan di sebuah tapak perkhemahan hutan di Ulu Tiram.

Katanya, polis menerima laporan yang menyatakan ketika program itu berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian kemeja-T berwarna hitam sejumlah 100 hingga 150 orang memasuki kawasan terbabit.

“Kumpulan pemuda itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian tetapi polis berjaya mengawal keadaan secara profesional tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan pemuda yang hadir itu dengan sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button