NasionalNegeri

Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 petang ini.

Istiadat majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama, TYT pada 3.33 petang ini.

Ab. Rauf kemudiannya melafazkan sumpah dan menandatangani surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia Ketua Menteri Ke-13 disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis.

Turut hadir bekas Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga ADUN Lendu.

Ketika di bawah pentadbiran Sulaiman, Ab Rauf adalah Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri.

Sebelum ini, beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka menggantikan Datuk Omar Jaafar setelah Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dari Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Adly Zahari.

Ab Rauf menyandang jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Beliau buat pertama kali bertanding di DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Ab Rauf, 62, sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri Melaka Ke-13, selepas Sulaiman meletakkan jawatan yang disandangnya sejak tiga tahun lalu.

Peletakan jawatan Sulaiman, 56, disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila menerima surat itu Selasa lalu.

Sulaiman dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari daripada PH selepas beliau sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 tidak mendapat kepercayaan beberapa ADUN yang membolehkan BN menguasai 15 kerusi daripada 26 kerusi DUN.

Situasi politik Melaka sekali lagi bergolak, apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman yang sekali gus memaksa PRN, Melaka diadakan pada 21 November 2021.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu dilantik kembali ke jawatan Ketua Menteri apabila keputusan PRN menyaksikan BN menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN.

Meskipun menang selesa, timbul pelbagai spekulasi apabila majlis angkat sumpah Sulaiman diadakan secara tertutup di Pejabat TYT pada jam 1 pagi.

Bahang kerusi ketua menteri tidak berakhir di situ apabila timbul pelbagai dakwaan mengatakan Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan pada Disember lalu bagi memberi laluan kepada Ab Rauf menggantikannya.

Sulaiman ketika itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan termasuk menghantar surat berkenaan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid dan akan mengosongkan kerusinya itu pada Januari lalu. – SM

BACA Rauf ganti Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka

BACA “Benar.. Sayalah Ketua Menteri Melaka yang baharu itu,” – Ab Raub Yusoh

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button