NasionalNegeri

“MAIPs Peduli” model program perpaduan kementerian – Aaron Ago Dagang

USAHA untuk memperkasakan program perpaduan negara harus menjadi agenda utama dalam mewujudkan keseimbangan kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyarankan agar kementeriannya boleh menghasilkan model seumpama aktiviti ‘MAIPs Peduli’ yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diperluaskan pelaksanaan di tempat-tempat yang lain dalam negara ini.

“Mungkin kita boleh selitkan intipati aktiviti seperti ini dalam program-program perpaduan yang sedang kita rancangkan dan akan dilaksanakan untuk tahun ini,” katanya.

Aaron berkata, ia boleh diadakan menerusi minggu perpaduan yang melibatkan aktiviti melawat kawasan yang terdiri dari populasi pelbagai agama dan kaum.

“Usaha menarik seperti ini dijangka dapat memupuk kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama,” katanya.

Demikian sebahagian ucapan beliau selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program MAIPs Peduli, petang semalam.

Terdahulu daripada itu beliau turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra hadir dalam program pemeriksaan kesihatan asnaf oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Kangar yang melibatkan seramai 50 peserta dari kariah masjid tersebut dan 70 orang lagi adalah dari kariah Masjid Al-Istiqamah Kg Teluk Jambu.

Selepas menjalankan pemeriksaan kesihatan, setiap asnaf yang hadir berpeluang mendengar ceramah kesihatan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri sebelum menerima sumbangan MAIPs daripada Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua Majlis bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM84,000 pada sesi kali ini. – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button