JenayahNasionalNegeri

Kastam Perlis tumpaskan cubaan seludup aksesori kereta, udang

BAWA betul, ikrar betul, bayar betul. Tapi jangan anggap perbuatan ingin lari dari cukai dengan membuat ikrar palsu terhadap barangan yang dibawa boleh terlepas dengan begitu sahaja.

Perkara ini ditekankan oleh Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis, Ismail Hashim sekaligus pihaknya berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup iaitu aksesori kenderaan dan juga udang putih.

Ismail (kanan sekali) bersama para pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan rim kereta di Pejabat JKDM Padang Besar, hari ini.

Beliau berkata, kes seludup aksesori kereta telah dikesan oleh pasukan anggota Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar, Perlis pada pukul 12 tengah hari, 31 Mac lalu.

Katanya, ini berikutan dua lori kontena yang bernombor pendaftaran Thailand yang melalui lorong pemeriksaan kenderaan dagangan, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Padang Besar, Perlis telah dikesan ada yang mencurigakan.

Katanya, kedua lori berkenaan dipandu oleh lelaki warganegara Thailand yang masing-masing berusia 33 dan 51 tahun.

Ismail (tengah) bersama para pegawainya menunjukkan gambar berkaitan udang pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar, hari ini.

“Semasa melalui mesin pengimbas, berat barangan yang dibawa itu didapati tidak seimbang dengan apa yang diletakkan dalam borang ikrar,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar di sini hari ini.

“Pemeriksaan lebih rapi dilakukan ke atas kedua-dua buah lori kontena tersebut dimana telah ditemui 2,626 unit aksesori kenderaan iaitu rim kereta pelbagai saiz yang diimport dari negara jiran yang menggunakan dokumen import, Borang Kastam 1 (K1) yang dipercayai tidak diikrar dengan betul,” katanya.

Katanya, anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan yang disita adalah bernilai RM636,235 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM166,081.05.

Ismail berkata, kesemua rim saiz 15 yang ditemui tidak diikrar sebaliknya hanya saiz 16 hingga ke 19 sahaja diikrar.

“Kedua-dua pemandu lori kontena tersebut serta seorang wakil syarikat penghantaran iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 46 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Ismail berkata, bagi kes seludup kedua pula, pihaknya telah bertindak di atas maklumat di mana pasukan anggota Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar, Perlis telah menahan dan memeriksa dua buah lori di tepi jalan Bukit Kayu Hitam, Kilometer 1.4 yang menghala ke arah selatan, Lebuhraya Bukit Kayu Hitam, Kedah pada pukul 1 petang, 11 April lalu.

Ismail berkata, hasil pemeriksaan rapi ke atas kedua-dua buah lori tersebut telah menjumpai 134 kotak berisi udang putih besar dengan berat dianggarkan sebanyak 5,360 kilogram yang diimport dari negara jiran menggunakan dokumen import, Borang Kastam 1 (K1) yang dipercayai tidak diikrar dengan betul.

“Sekalipun udang bukan termasuk dalam barangan bercukai tetapi ia menjadi kesalahan apabila tidak mempunyai permit import,” katanya.

Ismail berkata, lori ini hanya mempunyai permit membawa ikan selayang yang diletakkan di belakang lori ini mulanya dilepaskan semasa di laluan pemeriksaan di Bukit Kayu Hitam.

Udang yang tiada permit import dirampas oleh JKDM Perlis.

Katanya, anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan yang disita adalah sebanyak RM279,000.00.

Kedua-dua pemandu lori tersebut iaitu lelaki warganegara Malaysia yang masing-masing berumur 40 dan 42 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Ismail berkata, kedua kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit (RM500,000.00) atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh (7) tahun atau kedua-duanya. – SM

BACA Musang salai antara tujuh kes seludup dibanteras JKDM Perlis

BACA Kastam Perlis bongkar lelaki simpan dadah dalam aksesori kereta

(Visited 20 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button