Jenayah

Pemuda UMNO Bandar Tun Razak gesa pemaju Lebuh Raya SUKE dihadap ke muka pengadilan

Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak membuat laporan Polis susulan kejadian kren launcher jatuh dan menghempap pengguna jalan raya.

Laporan polis dibuat oleh Ketua Pemudanya, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri di Balai Polis Salak Selatan malam semalam.

Dalam kenyataannya kepada media, Ashrul Ashryzad mempersoalkan kekerapan tragedi yang meragut nyawa yang sering berlaku membabitkan kerja-kerja pembinaan laluan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE).

“Saya amat bimbang dengan kekerapan tragedi yang berlaku di laluan itu yang telah meragut beberapa nyawa. Adakah semua kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor pemaju?”

Tambah beliau, sebagai pemaju sebuah projek pembinaan yang besar dan penting, aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi dalam apa juga keadaan.


Lebih-lebih lagi ianya membabitkan kerja-kerja pembinaan di bahagian atas jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan.

“Sepatutnya pemaju mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menutup atau melencongkan laluan buat sementara waktu ketika kerja-kerja kritikal atau berbahaya sedang dibuat supaya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya di bawah itu”.

Justeru, beliau menggesa pemaju menghentikan kerja-kerja pembinaan di sektor terlibat tragedi yang meragut nyawa sehingga dipastikan keselamatan terjamin sepenuhnya.

Pemuda UMNO Bandar Tun Razak turut mencadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi menjalankan siasatan terperinci setelah dua kali kejadian seumpamanya menimpa pengguna jalan raya.

Sebagai pengguna harian jalan raya menurut beliau, sudah tentu perasaan bimbang membelenggu saban hari kerana jalan berisiko ini merupakan laluan ulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan urusan harian.

(Visited 120 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button