PEMBUKAAN semula Balai Seni Negara petang tadi turut dinanti peserta Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21). Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS) atau ‘Young Contemporaries’ diilhamkan dari program New Contemporaries di London. Pertandingan BMS21 kali ini merupakan edisi ke-26 yang telah dianjurkan sejak tahun 1974 dan ia telah diadakan setiap dwitahunan di Balai Seni Negara.
Bagi merealisasikan kelancaran pertandingan BMS pada tahun ini, Balai Seni Negara menilai dari setiap sudut kepentingan pelukis, masyarakat dan peminat seni tentang pendekatan seni sezaman kini di Malaysia. Penganjurannya amat dinantikan oleh anak muda seni visual kerana ianya merupakan platform bagi melonjakkan nama sebagai pelukis kontemporari dalam Sejarah Seni Malaysia.
BMS21 menerima sebanyak 166 permohonan penyertaan dan seramai 81 peserta telah terpilih dalam saringan yang dijalankan oleh kumpulan kuratorial daripada Balai Seni Negara. Majlis perasmian ini juga menyaksikan pengumuman dan penyerahan 11 anugerah BMS21 yang bertemakan ‘Seni di Lokasi’ dan 5 Anugerah Penghargaan.
Anugerah Utama berjaya dirangkul oleh Muhammad Hassanuddin bin Yusof dengan karya beliau yang bertajuk ‘Red Dinning’ menerima hadiah wang berjumlah RM30,000. Karya beliau telah dipamerkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan mengetengahkan karya jenis intalasi bertajuk “Red Dining”. Ia mengambil konsep suapan yang merujuk kepada masalah sosial negara yang tidak lekang dibibir mulut masyarakat.
4 Anugerah Juri berupa wang RM15,000 setiap seorang telah dimenangi oleh Andry Chin Yung Tet dengan karya betajuk Ais Box, Shireen Alyssa & Amirul Shaqil Bin Azmir dengan karya bertajuk SEED Perdu Buluh, Yap Chee Keng dengan karya bertajuk Clock In / Clock Out dan Chloe Yap Mun Ee dengan karya bertajuk – I Don’t Want You To See Me, But I Still Want To Show You.
Manakala untuk kategori Pilihan Pelawat Dalam Talian pula dimenangi oleh Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karya bertajuk Lindung, Dhakshini Jeganathan dengan karya bertajuk Healing Extensions dan Haffizzudin Jaidin & Syed Zamzur dengan karya bertajuk Sulapan Urung Taka.
Katergori Pilihan Pelawat Di Lokasi pula dimenangi oleh Dhakshini Jeganathan dengan karya bertajuk Healing Extensions, Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karya bertajuk Lindung dan Ahmad Rais Bin Mohamed Azmi dengan karya bertajuk Solitary Wall.
Selain itu juga terdapat Anugerah Kehormat Juri dimana artis yang menghasilkan karya yang memberi teladan dan akan memberi manfaat sekiranya bidang anugerah diperluaskan telah mendapat perhatian khas para juri. Mereka yang berjaya menarik perhatian juri adalah Muhammad Wardi Bin Md Nazir, Nuraina Shuhadah Binti Haris Fadilah, Izzat Zurrin Bin Zaniwa, Mohd Iqbal Bin Hashim, Khairul Izzuddin & Muhammad Shamin Shahrum.
Hadiah para pemenang BMS21 telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Shukri pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara Kuala Lumpur petang tadi.
Diharapkan para pemenang BMS21 dapat menjadi inspirasi dan melahirkan lebih ramai lagi pelapis muda dalam seni kontemporari Malaysia. – SM
Artikel berkaitan > Galeri Balai Seni Negara kini dibuka semula