Nasionalpilihan

Galeri Balai Seni Negara kini dibuka semula

BALAI Seni Negara yang telah ditutup selama dua tahun bagi memberi laluan untuk kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian ruang galeri serta bumbung utama sejak Ogos 2020 kini dibuka semula kepada orang ramai.

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) atau lebih dikenali sebagai Balai Seni Negara selaku agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab bagi memberikan pendedahan dan hebahan berkaitan seni visual khususnya kepada rakyat Malaysia dan juga pelancong dari luar negara.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara. Foto: Suara Merdeka

Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Shukri petang tadi.  Projek naik taraf dan pengubahsuaian Balai Seni Negara telah menerima peruntukan sebanyak RM4 juta yang disalurkan MOTAC.

“Bagi meraikan pembukaan semula galeri, Balai Seni Negara membawakan Pameran “NUSA” iaitu pameran Koleksi Tetap Seni Visual Negara. Pameran ini melibatkan lima buah galeri iaitu Galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B,” kata Nancy.

Sebanyak 466 buah karya dipamerkan yang mengetengahkan naratif sejarah dan mitos, persoalan dan pencarian hal identiti, idea, cadangan yang terhasil dan seterusnya membawa kepada pembentukan representasi Tenggara yang ingin diketengahkan dalam pameran ini melalui Koleksi Negara.

Selain pameran tetap, terdapat pelbagai pameran yang menanti para peminat seni visual. Antaranya ialah Pameran “Singles” yang mengetengahkan karya baharu merangkumi arca, media campuran, pemasangan dan dua dimensi.

Ruangan Hanya Satu atau Single, satu ruang berkarya terkini dan pelantar provokasi idea serta kreativiti di Balai Seni Negara mempersembahkan karya ‘Anti Panic Buying’ oleh Shafiq Nordin.

Ia akan dipamerkan di ruang lobi galeri Balai Seni Negara. Disamping itu, seni foto juga turut diketengahkan melalui Pameran Fotoseni di Galeri Potret. Pameran ini bermatlamat untuk menelusuri perkembangan seni foto secara am dan penggunaannya dalam pengkaryaan seni kontemporari yang ditampilkan menerusi koleksi Seni Visual Negara yang dihimpun sejak tahun 1963 sehingga 2021.

Bagi peminat seni digital pula, Pameran “Walking Through a Songline” anjuran National Museum of Australia dengan kerjasama Mosster Studio di ruang Galeri 3A.

Menurut Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, “Naratif dan cerita NUSA dalam pameran tetap, diharap dapat memperluas ufuk pandang pelawat terhadap etos masyarakat kita di Asia Tenggara Asia.

Datuk Seri Hajah Nancy Shukri ketika ditemu ramah oleh media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara. Foto: Suara Merdeka

Balai Seni Negara adalah tempat yang indah untuk membiarkan imaginasi kita kembali meneroka dan menginspirasi untuk ilham dan idea-idea baharu”.

Justeru, orang ramai dijemput untuk melawat galeri dan menghayati keindahan seni visual di Balai Seni Negara. Sebarang maklumat lanjut mengenai pameran dan waktu operasi, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Majlis turut dihadiri YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Pengerusi LPSVN, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN serta pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi. – SM

(Visited 560 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button