Nasional

99 PATI ditahan pihak berkuasa, 648 individu ingkar arahan PKP

AMBIL mudah terhadap kawalan keselamatan sempadan negara, 99 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua orang penyeludup ditahan pihak berkuasa.

Kesemua mereka berjaya ditahan pihak berkuasa apabila 280 sekatan jalan raya (SJR) diadakan semalam dalam operasi yang membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa.

“Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.

“Daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Koronavirus (Covid-19.).

“Semalam (28 November), Operasi Benteng telah berjaya menahan 99 PATI, 2 penyeludup serta merampas 2 kenderaan darat. Sebanyak 280 SJR dilaksanakan


“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.”

Demikian kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataannya terhadap perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 648 individu ditahan pihak polis atas kesalahan ingkar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 594 individu telah dikompaun manakala 54 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), dan lain-lain (26),” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan PKPB pula, Ismail Sabri memaklumkan, PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan penempatan Telipok di Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan.

PKPD yang sepatutnya berakhir hari ini (29 November) dilanjutkan sehingga 13 Disember apabila terdapat lebih 200 kes aktif di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Sehingga 27 November 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kampuing Numbak manakala 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

“Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan.

“Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Numbak dan penempatan Telipok, Kota Kinabalu selama 14 hari lagi bermula 30 November sehingga 13 Disember 2020,” ujarnya. – SM

(Visited 96 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button