Nasional

Kementerian Pendidikan berusaha selesai masalah sekolah tumpang di Sabah

Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha menyelesaikan masalah sekolah tumpang membabitkan 23 sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata 20 daripada sekolah berkenaan sudah mendapat peruntukan RM706 juta untuk pembinaan bangunan sekolah masing-masing, manakala peruntukan bagi tiga sekolah lagi sedang diusahakan.

Beliau berkata, Sabah mempunyai lebih banyak sekolah tumpang berbanding lain negeri dan ini menjadi cabaran infrastruktur bagi KPM.

“Kementerian akan memberi tumpuan terhadap pembinaan sekolah yang tidak siap mengikut jadual. Apa yang penting kita pastikan anak-anak kita mendapat kemudahan pendidikan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran dekat Sandakan semalam.

Beliau berkata, SMK Libaran satu daripada 23 sekolah itu yang baharu siap setelah lebih 22 tahun, dengan 597 pelajarnya menumpang di Sekolah Kebangsaan Sungai Padas, kira-kira 3 kilometer dari sekolah itu.

Sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 25km dari sini, dijadual beroperasi mulai 1 Julai ini, membabitkan pelajar Tingkatan 1 hingga 5.

Sementara itu Radzi berkata, kementerian sedang berbincang dengan pelbagai pihak mengenai bagaimana cara untuk meningkatkan program pendedahan dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

“Anak-anak kita perlu menyedari kita bertanggungjawab menjaga khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang,” katanya. – BERNAMA

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button