SEKURANG-KURANGNYA 100 kediaman musnah selepas 10 blok rumah kongsi membabitkan petempatan sementara di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, petempatan berkenaan musnah sepenuhnya selepas api dikatakan merebak dengan cepat.
Petempatan sementara jenis tidak kekal itu dibina oleh kerajaan untuk mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau pada 2017.
Jurucakap bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada pukul 11.35 malam.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Anggaran keseluruhan kawasan 6,070 meter persegi itu terbakar 100% dan pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berdekatan,” katanya.
Menurutnya, tiada korban dilaporkan dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal pada pukul 12.46 tengah malam.
Katanya lagi, pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3.05 pagi. – SM