Nasionalpilihan

Ketirisan cecah RM227 bilion bukti gejala rasuah ‘membangkak’ – Anwar

JUMLAH ketirisan sehingga mencecah RM277 bilion dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2023 seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bukti gejala rasuah membengkak di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah angka yang menggemparkan.
Katanya, jumlah sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat seperti pembasmian kemiskinan, pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, serta membantu golongan yang memerlukan.
Oleh itu, Perdana Menteri meminta semua pihak termasuk rakyat supaya berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan seperti SPRM untuk membanteras gejala tersebut.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Anda memerlukan kesungguhan, komitmen, dedikasi dan keberanian, serta memerlukan legislatif dan perundangan yang kuat untuk melindungi kita dari gejala rasuah.
“Dan paling penting anda perlu keberanian politik serta hala tuju yang jelas. Saya percaya, dengan kekuatan ini, tekad politik yang jelas, supaya semua tidak sanggup dan tidak bersedia untuk berkompromi dengan rasuah.
“Kita luncurkan agenda pembanterasan rasuah, yang tentu tonggaknya masih SPRM, tetapi yang terlibat ialah semua termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja, dan agensi-agensi lain yang harus memastikan negara ini beranjak daripada keterlanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras gejala rasuah,” tegas Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya, hari ini.
NACS 2024-2028 akan menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dan lebih memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.
NACS menggariskan strategi-strategi penting yang tertumpu pada peningkatan integriti, ketelusan, dan kebertanggungjawaban merentas pelbagai sektor di Malaysia, termasuk ahli politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman; sektor swasta serta masyarakat.
Dalam pada itu Perdana Menteri mengambil maklum kekangan yang dihadapi SPRM dalam menjalankan penguatkuasaanya, terutamanya jika individu yang berkaitan merupakan golongan yang berpengaruh.
“Kerana apabila kita perangi rasuah, perasuah itu bukan manusia kerdil atau kecil. Perasuah itu orang berpengaruh, darjat atasan, daya yang besar, akan menggunakan sebarang usaha melalui media sosial, jentera kerajaan, kuasa pengaruh politik untuk menghalang, menyerang sama ada tokoh politik atau bidang penguatkuasaan.
“SPRM sendiri tahu bagaimana kadang-kadang terpaksa menghadapi serangan, tohmahan dan juga bala keselamatan kerana dalam pertarungan ini, pertarungan yang dasyat.
“Sebab itu saya hadir memberikan dukungan, dan juga dua Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ada, untuk menzahirkan pendirian kita, bukan sekadar meluncurkan satu lagi strategi, kerana sejak Merdeka berpuluh dah ada rancangan pembanterasan, pelan, dan undang-undang dipinda,” jelasnya.
Perdana Menteri juga yakin dengan pelaksanaan NACP, Malaysia bakal diangkat menjadi sebuah negara yang hebat daripada segi tatakelola, sekali gus dapat melonjak sebagai antara yang terhebat di rantau ini. – SM
(Visited 8 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button