Nasionalpilihan

RM277 bilion hilang akibat rasuah dalam tempoh 5 tahun

MALAYSIA kerugian kira-kira RM277 bilion akibat rasuah sejak lima tahun lalu, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini.

Azam, yang berucap pada pelancaran Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028 di Putrajaya berkata, anggaran RM277 bilion itu adalah berdasarkan keluaran dalam negara kasar terkumpul negara dari 2018 hingga 2023.

“Jumlah yang besar ini boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam pelbagai cara terutama dengan melaksanakan projek sosial seperti membaiki sekolah dan hospital.

“Malangnya, kitatelah kehilangannya kerana rasuah.” katanya.

NACS 2024-2028, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menggariskan lima strategi teras untuk mencegah amalan rasuah di negara ini. Ia adalah kesinambungan daripada Pelan Pencegahan Rasuah Nasional 2019-2023.

NACS 2024-2028 menggariskan strategi antirasuah utama yang tertumpu pada meningkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti merentas sektor seperti politik, pentadbiran awam, pemerolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman serta sektor swasta.

Azam berkata, NACS 2024-2028 adalah selaras dengan Artikel 5 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah, yang memerlukan semua negara anggota untuk mengemukakan dokumen yang menjadi rujukan utama bagi inisiatif antirasuah peringkat kebangsaan.

Ketika ditanya mengenai kontraknya yang bakal tamat pada 12 Mei ini, Azam berkata dia tidak mahu membuat spekulasi mengenai perkara itu.

“Hari lahir saya pada 12 Mei,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu.

“Sesiapa yang ingin memberi saya hadiah boleh berbuat demikian.”

Azam dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, berikutan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Kontraknya sepatutnya tamat pada 12 Mei tahun lalu tetapi disambung selama setahun. – SM

(Visited 15 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button