Negeri

Kebersihan aspek penting dalam pelancongan

Kebersihan merupakan antara elemen utama tarikan dalam sektor pelancongan. Justeru itu, sebuah pelan yang lebih teratur perlu dirangka dengan memberikan penekanan terhadap aspek pembudayaan, pelaksanaan, penguatkuasaan serta perkhidmatan dalam memastikan amalan memelihara kebersihan diterapkan di segenap peringkat di negeri Perlis.

Walaupun sudah menampakkan perubahan yang positif, namun masih banyak ruang boleh ditingkatkan bagi memastikan kebersihan di negeri ini sentiasa berada di tahap yang terbaik dan ianya harus diamalkan bermula dari diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan juga jabatan masing-masing. Pada masa yang sama, jauhilah sikap suka menuding jari terhadap orang lain, sebaliknya semua pihak harus mengambil peranan dalam memastikan kawasan tanggungjawab masing-masing sentiasa berada dalam keadaan paling bersih.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan singgah di kebun serai dan ternakan kambing yang diusahakan oleh Kasim Shaharuddin sempena program berbasikal ‘MAIPs Peduli’, berlokasi di Lorong Tepi Bukit, Kampung Bukit Chabang yang kini telah dijenamakan semula sebagai ‘Bukit Chabang Mari’ iaitu salah satu destinasi agro-pelancongan terbaharu di negeri ini sejak lebih setahun yang lalu.

Menurut baginda, sektor pelancongan di Perlis mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan. Tarikan-tarikan semula jadi yang telah dipromosikan sebelum ini perlu untuk terus digiatkan.

Pelbagai usaha dalam membangunkan semula tempat-tempat menarik khususnya di sekitar kawasan Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian sudahpun dimulakan.

Tambah Tuanku Raja Muda, pemain-pemain industri pelancongan sama ada dari dalam mahupun luar negeri ini perlu bergerak lebih aktif serta mengambil peluang untuk memperkasakan semula industri pelancongan di Perlis.

Untuk rekod, sektor pelancongan merupakan sektor paling terkesan sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun kehadiran pelancong domestik ke negeri Perlis pada penghujung tahun 2020 yang lalu begitu memberangsangkan berikutan promosi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, namun ianya telah terhenti sepenuhnya apabila kes jangkitan Covid-19 telah meningkat dengan begitu drastik di seluruh negara pada awal tahun 2021 sehingga memaksa perlaksanaan penguatkuasaan Ordinan Darurat dilakukan pada 11 Januari yang lalu.

(Visited 729 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button