Atan dah meninggal dunia
PELAWAK lagenda yang dikenali dengan pelbagai watak yang mencerminkan budaya Malaysia iaitu Datuk Jamali Shadat meninggal dunia hari ini.
Allahyarham yang berusia 78 tahun, menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Pulau Indah, Klang, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Pemergian Allahyarham disahkan sendiri oleh cucunya, Isyraq Ariff menerusi laman Facebook miliknya.
“Selamat tinggal Atan. Mohon sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Datuk Jamali Shadat,” katanya.
Sebelum ini, pada 23 Januari lalu tersebar berita mengenai pelakon berkenaan yang menghembuskan nafas terakhir, namun ia telah dinafikan oleh anaknya, Fauzi Jamali.
Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.
Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu. -SM