Agong bertemu Raja-Raja Melayu bincang cadangan PM
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertemu dengan kesemua Raja-raja Melayu bagi membincangkan cadangan yang dikemukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Muhyiddin telah diperkenan menghadap Al-Sultan Abdullah semalam.
“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya,” kata Ahmad Fadhil.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran perkembangan terkini negara.
“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ahmad Fadhil.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri.
Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.-SM