PRK

Jangan undi ikut emosi, nasihat Dr. Mahathir kepada pengundi Tanjung Piai

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pengundi bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai agar tidak membuat keputusan memilih wakil rakyat mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu Sabtu ini, berdasarkan emosi semata-mata.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata pengundi perlu memikirkan soal kebaikan untuk negara khususnya pembangunan di kawasan Parlimen itu.

“Kalau undi orang yang tidak boleh berkhidmat, kita (pengundi Tanjung Piai) yang rugi. Kita undi dia, dia yang akan dapat duit (elaun). Kita dapat apa?”

“Janganlah kita silap langkah undi orang yang tidak boleh berkhidmat untuk kita,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Tapak Pasar Malam Kukup Laut, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian malam tadi.

Turut hadir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut Dr Mahathir, calon PH Karmaine Sardini adalah wakil yang boleh menjadi akses kepada kerajaan jika dipilih kerana memudahkan kesinambungan pentadbiran baik di peringkat pusat mahupun negeri.

“Inilah parti yang memerintah sekarang. Ada yang kata PH tidak tahan lama, tetapi dalam setahun setengah ini, kita tidak mempunyai masalah dalam Kabinet bagi menjalankan tugas sebagai pemerintah,” katanya.

Dalam ucapannya kira-kira 40 minit di hadapan ribuan orang, Dr Mahathir turut menegaskan, kebanyakan masalah yang berlaku ketika ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Beliau menjelaskan bukan mudah untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu yang dianggap seperti ‘penyakit’.

“Bukan mudah untuk perbaiki ‘kesakitan’ yang dirasai oleh negara sekarang ini. Seperti juga dengan ‘penyakit’ yang teruk. Tidak mudah untuk diubati, demikian juga dengan negara.”

“Banyaklah penyakit yang ditinggalkan dan kerajaan ini (PH) perlu mengatasi, membetulkan dan mengubatkan penyakit ini, tetapi penyakit ini mengambil masa untuk disembuhkan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata sekiranya diberi masa yang cukup selama lima tahun untuk mentadbir negara ini, lebih banyak ‘penyakit’ (masalah) dapat dikurangkan dan dipulihkan semula.

Keadaan tenteram dan aman di negara ini, kata beliau, adalah satu kejayaan yang cukup sukar didapati di negara lain.

PRK Tanjung Piai menyaksikan saingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button