Mahkamah

Cabul doktor wanita: Sami OKU berdepan hukuman penjara 10 tahun

Seorang sami orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan atas pertuduhan mencabul seorang doktor wanita, Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, M. Raja Gopal, 52, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 26 tahun di Katil No 25, wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka dengan cara menyentuh payudaranya dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Dia melakukan perbuatan tersebut sewaktu doktor berkenaan sedang merawatnya. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 7.30 malam 12 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, P. Thisharmini bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman paling ringan dengan alasan anak guamnya adalah seorang OKU, mempunyai penyakit kencing manis dan angin ahmar.

Tertuduh juga katanya, sudah berusia 52 tahun dan mempunyai lima orang anak perempuan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dikenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran.

Majistert kemudiannya menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 26 September ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button