MahkamahNasional

Pengarah Yayasan Kemajuan India WP dituduh salah guna harta, wang

PENGARAH Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 11 pertuduhan salah guna harta dan wang milik yayasan tersebut berjumlah RM86,000.

M Govindarajoo, 65, yang bekerja sebagai perunding, dituduh menyalahgunakan wang milik yayasan itu di sebuah bank di Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry pada 25 Ogos tahun lepas.

Semua 11 pertuduhan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta iaitu wang milik yayasan tersebut dalam jumlah yang sama dan di tempat dan tarikh yang sama.

Semua pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebagai syarat tambahan, Govindarajoo perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Namun Govindarajoo yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah agar mengenakan jaminan minimum atas alasan telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mempunyai tanggungan tiga orang anak.

Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dokumen perjalanan perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes. – SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button