KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil inisiatif menyemarakkan kembali ‘Kempen Budi Bahasa Budaya Kita’ selaras dengan matlamat utama Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang bertunjangkan ‘Negara Maju, Rakyat Berbudaya.’
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri bertempat di Kompleks Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Kempen ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ buat pertama kalinya dilancarkan pada tahun 2005 berjaya mengerakkan kempen tersebut hingga ke peringkat akar umbi.
Antara matlamat kempen pada ketika itu adalah untuk menyuburkan penghayatan dan pengamalan budaya nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Pada masa yang sama, kempen ini juga menjadi asas kearah pembentukan jati diri masyarakat negara ini.
Melalui ‘Kempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita’ ini, sebanyak 28 program yang berorientasikan amalan budaya nilai tinggi telah dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah MOTAC. Program ini ada yang telah atau bakal dilaksanakan sebagai usaha bagi menyemarakkan kempen pada tahun ini.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Sri Hajah Nancy turut berkesempatan menyampaikan bahan kempen kepada wakil agensi dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Antara penerima ialah Tourism Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia yang mewakili penggiat seni budaya serta The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) mewakili penggiat industri pelancongan.
Pelancaran kempen semarak ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ diharapkan dapat merangsang semula tahap penghayatan dan penerapan amalan budi bahasa sama ada dalam bentuk komunikasi, pengucapan, pertuturan, panggilan atau dalam perlakuan serta pergaulan.
Keseluruhan elemen tersebut harus dipraktikkan dalam semua institusi yang digariskan dalam DAKEN iaitu Institusi Kekeluargaan, Institusi Pendidikan, Institusi Perkhidmatan mahupun Institusi Kemasyarakatan.
“Pelancaran semarak kempen budi bahasa ini akan dapat membangkitkan semula semangat anak bangsa terhadap penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia. Semoga usaha ini dapat meningkatkan lagi semangat untuk kita berbudi bahasa tak kira di mana sahaja kita berada,” jelas Nancy lagi. – SM
Artikel berkaitan > Khazanah seni, budaya dan warisan negara terus dipelihara – Nancy Shukri