Nasional

Pasar borong: Bertahanlah, buktikan kita mampu – Menteri

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Pasar Borang Selayang diminta untuk terus bertahan dan bekerja dengan tekun.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa meminta rakyat tempatan membuktikan bahawa warga Malaysia juga mampu untuk menguruskan perniagaan di pasar borong tanpa bantuan warga asing.

Annuar berkata, beliau sama sekali tidak akan membenarkan warga asing ‘mengambil alih’ semula pasar borong walaupun terdapat rayuan daripada pihak tertentu,

“Bertahanlah…buktikan Kita rakyat Msia mampu uruskan perniagaan di pasar borong.Walau ada rayuan, saya tidak benarkan pasar borong di ambil alih oleh warga asing,” kata Annuar di Twitter.

Beliau mengulas laporan berita sebuah portal bertajuk ‘Orang Malaysia kini bekerja di pasar borong’. Laporan itu menyebut selepas Covid-19 melanda rakyat Malaysia mula bekerja di pasar basah yang dahulunya di banjiri oleh pekerja asing terutama dari Myanmar.

Sebelum ini ramai yang sinis bahawa orang Malaysia yang menggantikan kerja warga asing di Pasar Borong Selayang ‘takkan bertahan lama’.

Pasar borong Selayang ditutup pada 20 April hingga 3 Mei selepas 28 kes positif Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

Sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berakhir di kawasan itu, Annuar mahu imej Pasar Borong Kuala Lumpur perlu ditambah baik.

Beliau pada awalnya membuka tawaran kerja kepada kalangan warga gelandangan dengan gaji sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong.

Bagaimanapun rata-rata pekerja asing yang sudah lama bekerja di pasar basah tempatan tidak yakin bahawa orang Malaysia akan merebut peluang yang ditawarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ini kerana pekerja pasar basah perlu bangun seawal jam 2 pagi setiap hari. Setibanya di pasar, mereka perlu membersihkan gerai, mengangkat barang jualan, menyusun barangan dalam stor dan di rak jualan.

Mereka yang bekerja di gerai daging pula perlu menyembelih, membersih, membasuh, menyiang dan memotong daging sebelum pelanggan datang seawal pukul 6 pagi. Mereka hanya bioleh pulang ke rumah pada pukul 1 atau 2 petang.

Menurut warga asing, walaupun gaji yang mereka terima hanya separuh iaitu RM1,200 daripada gaji yang ditawarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pekerja tempatan, mereka bertahan kerana tiada pilihan.

Namun pekerja tempatan dijangka akan meninggalkan pekerjaan di pasar borong sebaik sahaja ekonomi negara pulih semula.-SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button