fbpx
Nasional

Lelaki Indonesia langgar polis trafik ditahan

POLIS menahan individu yang melanggar seorang pegawai polis trafik ketika cuba ditahan di jalan menuju bulatan Puncak Perdana, Bukit Jelutong pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang juga seorang warga Indonesia, 35, ditahan di Petaling Jaya, malam semalam.

“Susulan kejadian pegawai trafik IPD Shah Alam dilanggar lari oleh dua suspek yang menaiki sebuah kereta pada pagi 18 September lalu, satu pasukan tindakan khas ditubuhkan untuk mengesan mereka.

“Pasukan berkenaan berjaya mengesan suspek di sekitar sebuah pangsapuri di Petaling Jaya dan suspek ditahan jam 7 malam tadi.

“Polis turut merampas Proton Wira yang dinaiki suspek pada hari kejadian,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.


Menurut Baharudin, suspek dipercayai lari dari SJR berikutan visa perjalanan sudah tamat tempoh manakala seorang lagi rakannya yang turut berada dalam kenderaan itu sedang dikesan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 serta 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, mangsa, Ismail Aun, 55, cedera di kaki kanan selepas motosikalnya dilanggar dari belakang oleh kereta yang melarikan diri daripada pemeriksaan trafik.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan ke bulatan Puncak Perdana selepas menerima aduan kesesakan trafik di kawasan berkenaan. -SM

(Visited 14 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button