NasionalPendidikan

3,267 pelajar baharu teruja berjaya masuk UPSI

SERAMAI 3,267 calon teruja dapat melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkenal dengan sejarahnya yang panjang melahirkan guru sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC).
Mereka mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah semalam hadir bersama keluarga seawal jam 8.00 pagi gembra  berpeluang melanjutkan pengajian di universiti pendidikan tersohor itu.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti pendidikan yang terkenal dalam melahirkan guru pelbagai bidang berkhidmat di sekolah seluruh negara.
Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyambut dan bergambar bersama keluarga pelajar di Pintu Utama Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
“Saya berharap semua yang berjaya memasuki UPSI memanfaatkan segala kemudahan dan peluang sepanjang pengajian agar dapat mendapat kejayaan yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata UPSI lengkap dengan pelbagai kemudahan yang kondusif  di  Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang terletak di sisi Banjaran Titiwangsa.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata semua pelajar baharu berkenaan  ditempatkan di Kolej Ungku Omar, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Awang Had Salleh, Kolej Za’ba dan Kolej Aminuddin Baki.
Rakan Milenia menyampaikan bungkusan makanan kepada keluarga pelajar yang memasuki kampus sambil diperhatikan Dr Norkhalid.
Kesemua mereka akan mengikuti pengajian di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Sains Kemanusiaan,  Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif,  Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi,  Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia,  Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Fakulti Teknikal dan Vokasional.
Beliau yang turut menyambut kehadiran pelajar baharu di hadapan pintu utama Kampus Sultan Azlan Shah UPSI bersama-sama meraikan kegembiraan dan keterujaan pelajar dan  ahli keluarga mereka.
Katanya, bagi melancarkan urusan sesi pendaftaran pelajar, seramai lebih 300 Rakan Millenia terlibat membantu  selain  ahli Majlis Mahasiswa Kolej (MMK)  dari lima kolej kediaman serta barisan kepimpinan  Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) membuat persiapan yang rapi supaya sepanjang sesi pendaftaran berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.
Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar bersama pengetua dan felo bersedia menyambut kedatangan pelajar Baharu.
Beliau berkata bagi memeriahkan hari pendaftaran, Pusat Sukan UPSI menyediakan maskot landak untuk menyambut semua pelajar dan keluarga  yang hadir mendaftar.
Hadir sama  Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk  Seri  Ahmad  Burak serta pengetua-pengetua kolej.
Beliau yang turut  mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2023/2024 itu terharu dengan kesungguhan ibu bapa dan berharap semua mahasiswa baharu menjejakkan kaki ke dalam kampus ini tidak menghampakan harapan ibu bapa yang datang dari pelbagai latar belakang.
“Saya bangga dan gembira ahli keluarga bersama anak-anak mereka dalam langkah pertama menuju pendidikan tinggi atas semangat kekeluargaan bersama UPSI dalam menghasilkan individu-individu yang berbakat dan berilmu.
Seorang pelajar Orang Kurang Upaya(OKU),  Thirusya A/P Thamotharan dari Ipoh, Perak yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) melahirkan kegembiraan atas  kejayaan diterima belajar di UPSI.
“Walaupun saya mempunyai masalah pendengaran, namun saya  menganggap kekurangan ini bukan halangan untuk bersemangat meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. -SM
(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button