Nasional

17 premis hiburan diserbu Imigresen

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu 17 premis hiburan dalam satu  Operasi Khas dijalankan pada 8 Mac 2024 di lokasi sekitar Kuantan, Pahang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, operasi bermula pada pukul 11 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Pahang. Operasi ini turut disertai oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), JIM Negeri Perlis, JIM Negeri Perak dan JIM Negeri Sembilan.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama 3 minggu.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke 17 buah premis yang terdiri daripada empat buah premis pusat hiburan, sembilan buah premis kelab malam (pub) dan empat buah premis pelacuran.

“Pasukan operasi telah menahan 103 orang perempuan warganegara Thailand, dua orang perempuan warganegara Laos, 11 orang perempuan warganegara Vietnam, dua orang perempuan warganegara Myanmar, dua orang perempuan warganegara Indonesia, lima orang lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara Indonesia, 11 orang lelaki warganegara Bangladesh dan tiga orang lelaki warganegara China berusia antara 19 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katan Jafri, manakala 11 orang lelaki warganegara Malaysia yang berperanan sebagai penjaga premis berusia
antara 25 hingga 46 tahun turut ditahan. Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 151 orang.

Katanya, hasil semakan awal mendapati, 67 orang perempuan warganegara Thailand, dua orang perempuan warganegara Laos, 10 orang perempuan warganegara Vietnam, dua orang  perempuan warganegara Myanmar, tiga orang perempuan warganegara Indonesia dan 10 orang lelaki warganegara Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sahlaku sementara yang
lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Modus operandi di pusat hiburan ini adalah dengan melakukan promosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi media sosial.

“Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan oleh lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai sebagai penjaga premis sebelum pelanggan ke bilik yang disediakan.

“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis antara RM300 hingga RM400 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

“Transaksi bayaran yang digunakan bagi urusniaga ini adalah secara dalam talian atau tunai sebelum wanita
warganegara asing tersebut diserahkan kepada pelanggan.

“Selain itu, modus operandi yang digunakan di premis pelacuran adalah pelanggan akan hadir sendiri ke premis dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog yang diberikan.

“Setelah pelanggan membuat pilihan wanita yang ingin dilanggani, pelanggan akan dibawa ke bilik khas yang disediakan,” jelas beliau.

Menurut Jafri, bayaran secara tunai kepada penjaga premis semasa pelanggan mula untuk memasuki bilik. Kadar bayaran yang dikenakan antara RM250.00 hingga RM350.00 bagi satu jam.

Katanya. semasa serbuan dilakukan, terdapat bilik-bilik rahsia di dalam premis yang dipercayai sebagai lokasi bagi persembunyian warganegara asing apabila diserbu oleh pihak berkuasa.

Beliau memberitahu, terdapat seorang lelaki warganegara asing yang berada di premis tersebut cuba untuk melarikan diri dengan melompat dari tingkat dua premis dan terjatuh hingga mengakibatkan kecederaan.

“Pegawai operasi bertindak pantas menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.

“Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kemudiannya dibawa ke JIM Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

“Manakala 11 orang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Seramai 40 orang warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelas Jafri. – SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button