Hiburan

2020 tahun suram atau gemilang buat karyawan produksi

KURANG enam jam tahun 2019 akan melabuhkan tirainya dan menjelmalah tahun baharu 2020.

Sepanjang tahun 2019 ironinya industri hiburan tanah air penuh warna warni, suka, duka, gelak ketawa dan air mata.

Anak seni datang dan pergi menyahut panggilan Illahi. Di sebalik kegembiraan ada tangisan yang entah bilakah air mata akan kering.

Bukan sahaja anak seni yang senyum dan ketawa pahit tetapi juga karyawan produksi yang tidak tahu apakah untung nasib mereka pada tahun 2020.

Lazimnya yang diangkat, ditulis, disanjung ialah artis iaitu pelakon dan penyanyi.

Samentelah artis baharu, muda, cantik, merekalah yang mendapat tempat untuk paparan berita termasuk media elektronik.

Mungkin paparan dalam media cetak sudah kurang tetapi platform berita digital masih relevan untuk mengutarakan kisah artis.

Seminggu sebelum hari ini, paparan dalam media sosial memaklumkan, bayaran krew produksi tidak lagi seperti lazimnya.

Mereka katanya dibayar berdasarkan babak penggambaran.

Agak pening memikirkan apakah formula yang diguna pakai oleh pihak penerbit ataupun production houses jika bayaran untuk krew produksi dibuat berdasarkan babak penggambaran.

Bagi pembaca yang kabur dengan isu ini, biar diberikan sedikit pencerahan berhubung bayaran atau payment krew penggambaran.

Siapakah golongan sasaran krew penggambaran yang dimaksudkan di sini?

Bukan pelakon, bukan pengarah atau Tuan Director tetapi krew yang kerjanya gulung kable, pegang mikrofon, propman, propmaster, runner atau budak suruhan. Golongan inilah yang tidak dipandang atau sekadar dipandang sebelah mata.

Untuk makluman, bayaran atau krew produksi ini dibayar  secara pukal.

Sebagai contoh, jika penggambaran drama mengambil masa dua minggu, payment untuk sound man, misalnya ialah RM3,000.

Bayaran pertama 50 persen akan diberi sebelum memulakan penggambaran atau shooting dan baki bayaran akan diberi selepas tamat penggambaran.

Itulah kelazimannya dan RM3,000 adalah sekadar contoh dan mungkin bayaran lebih rendah daripada apa yang dicontohkan.

Jika bayaran atau payment untuk krew penggambaran dibuat mengikut babak, siapakah yang akan menentukan kadar atau rate?

Golongan ini (krew produksi) jangan terus menerus dianak tirikan.

Biarpun mereka ini tidak glamer tetapi mereka penting untuk bekerja dalam sesuatu produksi. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button