NasionalNegeri

150 pelukis antarabangsa dari 15 buah negara berkampung di Perlis

SEBANYAK 150 pelukis antarabangsa dari 15 buah negara berkampung di Perlis selama tiga hari dari 23 hingga 27 Ogos 2023 dalam program ‘Perlis Art Bridge Exhibition: International Art Camp 2023’ anjuran City Art Gallery.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul berkenan bergambar di samping lukisan sempena ‘Perlis Art Bridge Exhibition: International Art Camp 2023’ di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengasas Art Expo Malaysia serta City Art Gallery, Datuk Vincent Sim Tiak Choo.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen yang juga merupakan Penaung Art Expo Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Vincent Sim kerana memulakan dan menganjurkan acara yang menarik ini dan membawa artis yang berbakat dari negara luar berharap agar lebih banyak pameran seperti ini akan diadakan di Perlis dalam masa terdekat ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul berkenan bergambar bersama para pelukis sempena ‘Perlis Art Bridge Exhibition: International Art Camp 2023’ di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

Tambah Pemangku Raja, melalui hasil karya seni yang dipersembahkan oleh pelbagai artis dari seluruh dunia, nilai kreativiti juga memberi inspirasi kepada semua orang di sini dan bukan sahaja kepada generasi muda semata-mata.

Zaliman memaklumkan bahawa program ini bertujuan untuk mempromosikan negeri Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan, budaya dan kesenian terutamanya kepada masyarakat global.

Menurut Vincent pula, ‘Pameran Art Bridge Exhibition: International Art Camp 2023 pada kali ini bertujuan untuk menghasilkan karya bermotifkan pelancongan dan warisan di negeri Perlis yang dianjurkan oleh City Art Galery dengan kerjasama padu daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis, UniMAP, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Persatuan Senilukis Perlis, Persatuan Senilukis Kedah Utara dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

86 buah lukisan istimewa telah diserahkan kepada negeri Perlis melalui program ini iaitu 9 kepada UniMAP, 5 kepada PTSS dan 72 lagi kepada Galeri Senilukis Negeri Perlis di Perpustakaan Simpang Empat di bawah koleksi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul berkenan bergambar sempena perasmian ‘Perlis Art Bridge Exhibition: International Art Camp 2023’ di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

70 lagi koleksi lain yang sudahpun dilukis sebelum mereka datang telah turut diserahkan kepada pihak Galeri Senilukis Negeri Perlis untuk YTSP Perlis menjadikan kesemuanya 142 lukisan disumbangkan pada kali ini.

‘Ia adalah sebahagian daripada inisiatif kecil kami untuk menjayakan momentum persediaan bagi sama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025 yang menyasarkan seramai 3.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara akan bertandang ke negeri ini’,
jelas beliau. – SM

(Visited 467 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button