NasionalTravel

Kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 bakal berwajah baharu

KAPAL selam SMD Ouessant Agosta 70 buatan Perancis yang terletak di Muzium Kapal Selam

di Dataran 1Malaysia Klebang dekat sini bakal berwajah baharu menjelang Oktober ini kata Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Menurutnya, kapal selam tersebut akan dibaik pulih dan dicat semula bermula selewat-lewatnya Ogos ini apabila pihaknya akan melantik sebuah kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih itu yang diputuskan tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini kali pertama kapal selam tersebut dibaik pulih selepas dibawa dari pengkalannya di Brest, Perancis dimulakan pada 7 Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November 2011.

“Tumpuan utama baik pulih ialah mengecat semula badan kapal selam yang warnanya semakin pudar hingga mencacatkan pemandangan kepada pelancong dari dalam dan luar negara melawat ke sini.

“Saya jangka selewat-lewatnya Oktober ini, kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 milik bekas Tentera Laut Perancis akan berwajah baharu.

“Bahagian dalam tidak diusik dan kekal seperti sewaktu kapal selam ini tiba pada 2011 cuma bahagian badannya dicat semula dengan warna asal selain beberapa bahagian rosak akan dibaik pulih semula,” ujarnya di sini hari ini.

Kapal selam ini telah dibawa pulang ke tanah air oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan diserahkan kepada Kerajaan Melaka ketika diterajui bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Ali Mohd. Rustam untuk diabadikan sebagai Muzium Kapal Selam.

Sementara itu Akramuddin berkata, usaha Perzim untuk membawa Kapal layar Jalur Gemilang yang dikemudi oleh Datuk Azhar Mansor apabila mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mencipta rekod belayar mengelilingi dunia secara solo berjalan lancar.

Menurutnya, beliau akan bertemu Azhar bagi memuktamadkan rundingan bulan depan sebelum kata putus dibuat untuk menempatkan kapal layar bernilai RM2 juta yang meredah lautan menggelilingi dunia selama 190 hari bersebelahan hangar jet pejuang.

Beliau berkata, jika rundingan itu berjaya, Kapal Selam Jalur Gemilang akan menjadi tarikan baru menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke Muzium Kapal Selam itu nanti.

“Kapal layar ini bakal ditempatkan untuk satu tempoh yang panjang mungkin antara dua hingga tiga tahun dan perkara tersebut bergantung kepada persetujuan pemiliknya,” ujarnya. – SM Melaka

(Visited 494 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button