Auto Travel

Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bandar ke-73 terpintar di dunia

Melonjak naik 16 anak tangga menurut Indeks Bandar Pintar (SCI) 2024 keluaran Institute for Management Development (IMD) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR melonjak 16 anak tangga berada di kedudukan ke-73 dalam senarai bandar raya terpintar di dunia daripada 142 bandar raya, menurut Indeks Bandar Pintar (SCI) 2024 keluaran Institute for Management Development (IMD) baru-baru ini.

Tahun lalu Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-89. Ibu negara Malaysia itu merekodkan beberapa prestasi membanggakan termasuklah kemudahan pembelian tiket dalam talian dan kebolehcapaian penyenaraian pekerjaan dalam talian yang memudahkan mencari kerja.

Laporan itu turut memuji struktur kesihatan dan keselamatan di ibu kota, seperti “mengatur temu janji perubatan dalam talian yang menambah baik akses”, dan struktur mobiliti seperti “penjadualan dalam talian dan jualan tiket telah menjadikan pengangkutan awam lebih mudah untuk digunakan”.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati kesesakan lalu lintas, rasuah, pencemaran udara dan rumah mampu milik adalah antara isu paling membimbangkan di Kuala Lumpur.

Presiden Smart City Observatory Bruno Lanvin berkata, sesebuah bandar raya perlu merangka dan mengguna pakai strategi untuk bertahan dengan ujian ketidaktentuan pada masa depan.

Beliau juga berkata, kepercayaan dan tadbir urus yang baik menjadi semakin penting, dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk dan pengurusan bandar dijangka meningkat.

“Walaupun ia mungkin kedengaran tidak intuitif, AI boleh membantu menginsankan bandar menjadi lebih mementingkan manusia,” katanya.

Zurich mengekalkan kedudukan teratasnya bagi edisi kelima berturut-turut laporan SCI pada 2024, diikuti Oslo, Canberra, Geneva dan Singapura. – SM

Baca ini > Kuala Lumpur antara top 10 bandar dikunjungi pelancong

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button