fbpx
Nasional

Wataniah Tentera Darat sumber risikan paling berkesan – Raja Muda Perlis

Anggota pasukan sukarela Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia yang terlatih dan berkepakaran dalam bidang-bidang yang spesifik seharusnya dimanfaatkan sebagai sumber risikan atau ‘First Responder’ bagi kawasan-kawasan tertentu apabila diperlukan.

Ini adalah kerana mereka merupakan sukarelawan atau sukarelawati orang tempatan dan lebih mengetahui setiap selok belok kawasan setempat tanggungjawab masing-masing.

Perkara ini juga jika berjaya dilaksanakan dengan efisyen akan dapat mengurangkan kos dan tempoh mengaturgerak dengan lebih pantas kerana tidak perlu mengerahkan seluruh anggota tetap ke lokasi terbabit tetapi hanya perlu mengarahkan anggota sukarela yang sedia ada dikawasan masing-masing jika keadaan memerlukan di peringkat awal.

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program kayuhan berbasikal diraja mengambil sempena sambutan ‘Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Askar Wataniah ke-40’ yang jatuh pada 7 September yang lalu sejauh 12km yang bermula dan berakhir di perkarangan Pauh Inn Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Perlis.


Keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke 46 bagi tahun 2020 dan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs itu disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak fan Pengarah PTSS Perlis Mejar Kehormat Abdul Malek Hassan.

Turut hadir ialah Panglima Markas Infantri 30 Briged Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Hassan Embong serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Perlis.

Para anggota sukarela dari PTSS membuat persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) di awal ketibaan para peserta sebagai simbolik pelancaran.

Sementara itu Zaidi pula terus mengajak muda mudi di seluruh negeri Perlis yang berminat tetapi belum lagi mendaftarkan diri sebagai anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah supaya menghubungi talian 04-9382024 atau datang sendiri ke Kem Bukit Keteri pada waktu pejabat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Tambah beliau, selain mendapat elaun latihan, para anggota sukarela juga boleh melalui pelbagai pengalaman latihan ketenteraan yang menarik seperti menembak, membaca kompas, beriadah, sukan lasak, abseiling, asas semboyan dan lain-lain lagi apabila menjadi seorang anggota rejimen di bawah naungan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Tuanku Komander rejimen itu.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button