Nasional

Bekas pekerja Utusan lancar petisyen tuntut pampasan

BEKAS pekerja syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad melancarkan petisyen bagi mendesak agar pampasan terhadap mereka dibayar.

Desakan itu dibuat menjelang dua tahun syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad ditutup pada 9 Oktober 2019.

Petisyen berkenaan dilancarkan selepas tuntutan bayaran pampasan menemui jalan buntu sehingga kini.

Sejak syarikat Utusan Melayu ditutup, sebuah syarikat liquidator iaitu UHY Malaysia diberi tanggungjawab untuk menguruskan penjualan aset-aset syarikat dan membayar segala hutang piutang syarikat, termasuk soal pampasan kepada bekas kakitangannya.

“Selepas hampir dua tahun menguruskan urusan penjualan aset-aset Utusan Melayu yang bernilai ratusan juta ringgit, UHY hanya berjaya melangsaikan hutang baki dua bulan gaji pekerja dan tunggakan pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sehingga kini, langsung tiada khabar berita mengenai bilakah hutang-hutang lain seperti bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tuntutan perubatan, tunggakan pinjaman bank, insurans, zakat, koperasi, Tabung Haji dan sebagainya diselesaikan.

“Malah UHY juga masih gagal membayar bayaran pampasan pemberhentian wajib yang perlu diselesaikan segera antaranya faedah-faedah statutori seperti bayaran ganti notis, faedah penamatan kerja dan bayaran baki cuti tahunan, walaupun difahamkan beberapa aset utama Utusan Melayu bernilai jutaan ringgit sudah dijual,” kata petisyen itu yang dilancarkan mulai semalam.

Sehingga kini lebih 1,000 orang telah menandatangani petisyen tersebut sama ada dalam kalangan bekas kakitangan Utusan Melayu mahupun mereka yang simpati dengan nasib pekerja terbabit.

Lebih malang menurut mereka apabila tiada satupun maklumat diberikan kepada bekas kakitangan Utusan Melayu tentang hasil perkembangan pengurusan liquidasi melainkan makluman tidak rasmi bahawa mereka masih gagal menjual aset-aset berkenaan.

“Sehubungan itu, kami bekas kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan melancarkan kempen menandatangani petisyen agar syarikat pelikuidasi UHY Malaysia segera menbayar semua faedah statatutori, termasuk pampasan kepada semua bekas kakitangan.

“Jika gagal, kami mendesak pihak UHY segera menarik diri sebagai syarikat pelikuidasi kerana gagal dalam tugas yang diberikan dan meminta campur tangan kerajaan dan UMNO selaku bekas pemegang saham utama Utusan Melayu untuk menyelesaikan masalah ini,” kata mereka menerusi petisyen tersebut.

Petisyen tersebut dibuat menerusi https://www.change.org/ManaPampasan_PekerjaUtusanMelayu .-SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button