NasionalNegeriRencah Hidup

Wanita disaran lebih bijak pilih produk kecantikan – Raja Puan Muda

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah supaya kaum wanita lebih bijak memilih produk kecantikan sekalipun ingin tampil cantik dan anggun.

Baginda bertitah, ini kerana masih ada di kalangan wanita yang tidak tahu kesilapan memilih produk kecantikan akan boleh mengganggu fungsi hormon semula jadi dan menjejaskan kesihatan dalaman dan luaran.

“Inilah cabaran lain yang perlu dihadapi oleh seorang wanita yang pastinya tidak boleh memisahkan diri dari kosmetik dan kecantikan,” titah Baginda.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan seluruh jawatankuasa penganjur di atas penglibatan dan komitmen mereka dalam menjayakan program Seminar YTF Siri 15 baru-baru ini.

Raja Puan Muda juga berterima kasih kepada ahli-ahli panel yang telah berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan di dalam seminar dengan tema yang dipilih khas iaitu “Wanita Sihat, Anggun, Berkarisma” anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan kerjasama YTF secara ‘hybrid’ pada 30 November lalu.


Titah Baginda, “Sihat” berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) membawa maksud keadaan yang sempurna dari segi fizikal, mental, dan sosial, dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit.

Titah Baginda, sihat secara fizikal merujuk kepada bebas daripada sebarang berjangkit penyakit atau penyakit tidak berjangkit seperti Kencing Manis, Darah Tinggi, Kolesterol Tinggi atau Kanser.

“Sihat secara mental pula meliputi aspek pemikiran, emosi, tingkah laku serta mempunyai hubungan yang baik antara seseorang dengan orang lain,” titah Baginda.

Baginda bertitah, “Anggun” atau bergaya, elok dan menarik pula adalah sangat sinonim dengan wanita yang secara lumrahnya sangat mementingkan gaya dan ketrampilan sempurna.

“Kecantikan yang merupakan satu impian bagi setiap wanita pula merangkumi kecantikan luaran dan dalaman seperti kata-kata Randi G. Fine ”Kecantikan luar adalah hadiah, kecantikan dalaman adalah satu pencapaian”, titah Baginda.

Sementara itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis perasmian pembukaan seminar sehari ini di Auditorium Dr Syed Mahmood Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Kangar. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button