Jenayah

Wanita didenda RM3,000 akibat pukul polis

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 13 Mei – Seorang wanita menerima padah apabila tindakannya memukul seorang anggota polis hingga
cedera dengan batang penyapu menyebabkan dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh Hasrina Osman, 42, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dia juga turut berdepan dengan hukuman penjara enam bulan sekirannya gagal membayar denda yang dikenakan
ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Hasrina dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Koperal Muhammad Taufik Sayutin semasa dia menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam.


Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, di sini, kira-kira
jam 10.45 malam pada 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari yang terlebih dahulu memohon
kepada agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBG) merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh menyesali di atas perbuatannya selain dia tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh bertindak memecahkan barang dan mengamuk selain meminta
abangnya menghantar dia ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Selangor.

Pengadu yang juga abangnya telah menghubungi polis kerana adiknya tidak dapat dikawal. Dua anggota polis
dari Balai Polis Bandar Hilir tiba untuk meredakan tertuduh.

Bagaimanapun, wanita itu bertindak agresif menggunakan batang penyapu mencederakan salah seorang anggota
polis di tempat kejadian.

(Visited 9 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button